PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) akan terus membantu negara-negara yang dilanda wabak COVID-19 di serata dunia.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, setakat Jumaat, organisasi itu telah menghantar peralatan perlindungan peribadi seperti topeng muka dan pakaian perlindungan ke 68 negara.

Ia juga telah menghantar sebanyak 1.5 juta unit kit ujian diagnostik COVID-19 ke 120 negara.

Selain itu katanya, WHO juga telah menubuhkan Tabung Bantuan COVID-19 pada 13 Mac lalu dan sehingga kini, tabung itu telah mengumpul sumbangan sebanyak RM286 juta (AS65 juta) daripada 173,000 individu dan organisasi di serata dunia.

Jelasnya lagi, WHO juga sedang bekerjasama rapat dengan pengeluar peralatan perubatan dan pakaian perlindungan sebagai usaha memastikan bekalan barangan mencukupi bagi pihak berkuasa kesihatan di sebanyak mungkin negara.

Tambah Tedros, mereka juga telah menghasilkan senarai pengeluar barangan tersebut di China.

"Kita juga telah mengenal pasti pengeluar yang kini tidak cukup kapasiti untuk memenuhi permintaan peralatan kesihatan.

"Kita turut bekerjasama dengan Yayasan Diagnostik Inovatif Baru (FIND) untuk melibatkan lebih banyak makmal kesihatan bagi menghasilkan kit ujian saringan COVID-19 dengan lebih banyak," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, isu kekurangan bekalan peralatan perubatan dan pakaian perlindungan dijangka berterusan pada masa hadapan.