GENEVA:Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) umum perjanjian dengan rakan kongsinya bagi menyediakan 120 juta ujian saringan pantas COVID-19 untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Bagaimanapun, pelan yang memerlukan AS$600 juta (kira-kira RM2.5 bilion) itu masih belum dibiayai sepenuhnya.

WHO minggu lalu mengeluarkan senarai penggunaan kecemasan bagi kit ujian pantas COVID-19 dengan harga AS$5 (kira-kira RM21) setiap satu.

Kit ujian pantas itu akan mengesan antigen atau protein yang terdapat pada permukaan virus.

Bagaimanapun, kit ujian pantas dianggap sebagai kurang tepat walaupun lebih cepat mendapatkan keputusan daripada ujian genetik kelas tinggi dikenali sebagai ujian PCR.

Ujian tersebut memerlukan pemprosesan dengan peralatan makmal dan bahan kimia khas.

Ia memerlukan masa beberapa hari sebelum boleh mengeluarkan keputusan kepada pesakit.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus memuji program itu sebagai berita baik dalam memerangi COVID-19.

“Hari ini, saya mempunyai berita baik. Saya gembira untuk mengumumkan bahawa berkat kesepakatan antara WHO dan rakan kongsi di sini hari ini dan yang lain, sebahagian besar ujian pantas ini, 120 juta akan disediakan untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana.

“Ujian ini memberikan hasil yang dapat dipercayai dalam masa sekitar 15 hingga 30 minit, dan bukannya berjam-jam atau hari, dengan harga yang lebih rendah, dengan kurang peralatan.

“Ini akan membolehkan pengembangan ujian, terutamanya di kawasan yang sukar dijangkau yang tidak mempunyai kemudahan makmal atau pekerja kesihatan yang cukup terlatih untuk menjalankan ujian PCR,” katanya.

Kata Dr Tedros lagi, ia merupakan penambahan penting keupayaan ujian tersebut dan sangat penting di kawasan transmisi tinggi.