Kerajaan Yaman memutuskan hubungan dengan Qatar pada Isnin, menuduhnya bekerjasama dengan musuh-musuhnya dalam gerakan Houthi yang didukung Iran, menurut agensi berita Saba.

"Amalan Qatar yang berurusan dengan militia rampasan kuasa (Houthi) dan menyokong kumpulan pelampau kini jelas," kata kerajaan itu dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Yaman menyokong keputusan oleh gabungan diketuai Arab Saudi, yang berjuang selama lebih daripada dua tahun untuk menggulingkan Houthi dari Sanaa, untuk menyingkirkan Qatar dari kedudukannya seperti yang diumumkan pada awal Isnin.

Terdahulu hari ini, Bahrain, Arab Saudi, Mesir dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, menuduhnya menyokong kegiatan keganasan serta campur tangan dalam urusan dalaman Bahrain.

Agensi berita Arab Saudi memetik sumber rasmi sebagai berkata, keputusan itu diambil bagi melindungi keselamatan negara "dari bahaya keganasan dan faham pelampau".

Laporan media rasmi Mesir turut menuduh Qatar menyokong kumpulan pengganas.