Bekas perdana menteri Thailand, Yingluck Shinawatra membuka kediamannya kepada media antarabangsa semalam untuk memberi peluang kepada mereka meninjau kehidupannya setelah tersisih daripada arena politik negara ini.

Dilarang daripada membabitkan diri dengan politik selama lima tahun, perdana menteri wanita pertama Thailand ini berkata, kini beliau mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan perkara yang amat diminatinya iaitu menanam salad.

"Di samping membuat persiapan mengenai kes mahkamah, saya juga mengisi masa saya dengan berkebun untuk hidangan keluarga dan memberinya kepada rakan-rakan yang sukakan sayur-sayuran," katanya kepada media.

Adik kepada Thaksin, yang juga bekas perdana menteri Thailand ini, juga mengisi masa lapangnya dengan berkunjung ke kuil dan berjumpa sahabat handai.

"Saya ingin tahu perkembangan terkini (mengenai rakan-rakan)," kata Yingluck, yang menerima celaan daripada Dewan Perundangan Nasional dan kemudian dilarang daripada bergiat dalam politik selama lima tahun.

Beliau juga berdepan dengan pertuduhan jenayah di Mahkamah Agung kerana peranannya dalam skim pembelian padi di negara ini. Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman tidak lebih 10 tahun penjara.

Mengenai pelan tindakan yang disediakan Kerajaan Thailand yang diterajui tentera, Yingluck berkata pilihan raya perlu diadakan kerana ia merupakan sebahagian daripada asas penting dalam sistem demokrasi, di samping untuk kebaikan ekonomi dan bagi memelihara keyakinan rakyat.

Beliau juga menyentuh tentang draf perlembagaan yang dibentangkan baru-baru ini oleh suruhanjaya yang dilantik kerajaan dan menegaskan bahawa draf itu perlulah sesuatu yang boleh diterima semua pihak serta bersifat berpaksikan rakyat.

Yingluck berkata Thaksin juga mahu keadaan di Thailand kembali seperti biasa dan pilihan raya serta pemindahan kuasa kepada rakyat dilakukan dengan secepat mungkin.

Pada akhir sesi perjumpaan dengan media itu, Yingluck menjelaskan bahawa tindakannya mengundang media antarabangsa ke kebun sayurnya tidak mempunyai sebarang niat tersembunyi.

"Saya tidak ada sebarang agenda tersembunyi apabila membuka pintu kediaman saya ini (kepada media)," katanya dan menjelaskan bahawa apa jua komen beliau mengenai perkara berkaitan politik sepanjang perjumpaan dengan media itu adalah secara kebetulan sahaja, bukan dirancang.