Pendakwah terkenal warga India, Zakir Naik telah dituduh dengan pengubahan wang haram oleh pendakwaraya India.

Zakir, 53, yang kini tinggal di luar negara didakwa telah memperoleh aset yang dikaitkan dengan jenayah bernilai AS$28 juta (RM115,964,800).

Selain pengubahan wang haram pihak berkuasa India juga menuduhnya menyebarkan ucapan berbaur kebencian dan menghasut keganasan.

Direktorat Penguatkuasaan (ED) India, yang menyiasat jenayah kewangan, memfailkan dakwaan terhadap Zakir di mahkamah Mumbai pada Khamis.

Ia memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah mengenal pasti aset berjuta-juta dolar yang didakwa hasil aktiviti jenayah.

Menurut laporan BBC, Zakir telah menolak semua dakwaan tersebut.

Zakir merupakan pendakwah bebas yang diberi status kerakyatan Malaysia oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu.

Sebelum ini, sebuah panel Interpol dilaporkan sedang mengkaji permintaan India untuk mengeluarkan notis merah terhadap Zakir Naik, ketika New Delhi berusaha mendapatkan perisytiharan pelarian antarabangsa bagi pendakwah kontroversi itu, lapor Hindustan Times.

Portal tempatan melaporkan, dua pegawai yang enggan dikenali berkata, laporan itu menyatakan Suruhanjaya Kawalan Fail Interpol (CCF) mengadakan mesyuarat untuk membincangkan permintaan India pada 19 April lalu.

Memetik satu kertas pertuduhan difailkan terhadap Naik pada Oktober 2017, dengan satu salinan turut dihantar kepada Interpol, seorang daripada pegawai itu berkata, Interpol kemudiannya merujuk permintaan notis merah itu kepada CCF.