Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dikiritik apabila menyarankan pelajar-pelajar universiti agar selalu mengamalkan masak sendiri dari makan di luar.

Saranan ini diberi beliau bertujuan bagi mengurangkan beban cukai barang dan perkhidmatan (GST) di kalangan pelajar.

Saranan tersebut dilakukan di dalam forum penerangan berkenaan GST kepada pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam pada Sabtu.

Namun begitu, rata-rata pelajar universiti berpendapat bahawa saranan Ahmad itu mustahil untuk dilaksanakan apabila undang-undang kampus universiti sendiri tidak membenarkan pelajar-pelajar ini untuk masak di dalam kampus.

Malah ada pelajar berkata peralatan memasak dan alat pemanas air juga tidak dibenarkan dibawa ke dalam kampus.










Bagaimanapun, Ahmad dalam twit terbarunya sebentar tadi yang ditujukan kepada pelajar-pelajar universiti memaklumkan bahawa perkara tersebut (masak sendiri) pernah dilakukan oleh anaknya ketika menetap di luar kampus universiti.

Malah kata Ahmad sebagai pelajar mereka harus bijak memilih kedai makan yang menawarkan harga yang berpatutan.