Restoran Oldtown White Coffee pada Jumaat telah memuatnaik paparan contoh kiraan harga baru makanan dan minuman mereka selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April depan.

Paparan yang ditunjukan dalam bentuk gambarajah itu memperlihatkan cara kiraan yang dibuat restoran berkenaan pada menu dan harga akhir yang akan dibayar pengguna kepada juruwang.

Perkara tersebut telah mendapat reaksi negatif orang ramai yang mempersoalkan mengenai ketelusan kiraan berkenaan.

Tidak kurang juga ada merasakan harga tersebut membebankan pengguna apabila Oldtown mengenakan dua kali GST termasuk untuk caj perkhidmatan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan ketika diminta mengulas mengenai paparan harga tersebut berkata caj perkhidmatan tidak semestinya diletakkan 10 peratus.

"Caj perkhidmatan nama lainnya adalah tips. Tidak semestinya dibayar jika perkhidmatan tidak memuaskan.

"Kadar caj pun tidak semestinya 10 peratus, kurang daripada itu pun boleh. Kerajaan tidak mengambil caj perkhidmatan hanya restoran atau hotel.

Namun, Ahmad Maslan tidak menjawab adakah kiraan yang dibuat Oldtown benar atau tidak.

Pada Jumaat, Ahmad Maslan dalam satu kenyataan berkata bahawa Industri makanan dan minuman (F&B) akan menjadi lebih kompetitif apabila GST dilaksanakan Rabu ini memandangkan regim cukai baharu itu membolehkan perniagaan menurunkan harga.

Ini kerana perkara tersebut katanya, membolehkan kebanyakkan rangkaian restoran mendapat manfaat daripada kos pengeluaran yang lebih rendah berikutan kelebihan kredit cukai input.