Budaya makan di luar begitu sebati dengan penduduk bandar dan di kalangan eksekutif muda.

Dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April, adakah ia akan menjejaskan sektor makanan dan minuman (F&B) dan adakah orang ramai akan menghadkan makan di luar?

Pembantu pengurus di sebuah kafe di Wangsa Maju yang mahu dikenali sebagai Ahmad berpendapat pelaksanaan GST tidak akan menjejaskan perniagaannya.

“Mungkin pada dua dan tiga bulan pertama pelaksanaan GST, ia akan menjejaskan bisnes kami. Menerusi tinjauan saya, saya menjangkakan akan ada penurunan pelanggan sebanyak 20 hingga 30 peratus.

"Ini kerana orang ramai masih tidak tahu tentang GST dan 'takut'. Oleh kerana itu, mereka mungkin akan kurang makan di luar. Namun apabila GST sudah dilaksanakan dan orang ramai sudah terbiasa dengan GST, bisnes kami akan berjalan seperti biasa," kata Ahmad.

Beliau akui harga makanan dan minuman di kafe beliau akan ada peningkatan sedikit tetapi ini semua akan ditentukan oleh ibu pejabat.

"Ia bukanlah peningkatan yang drastik tetapi adalah sikit," tambahnya.

Ibrahim yang merupakan pemilik sebuah kafe makanan barat di Wangsa Maju berkata kalau boleh, beliau tidak mahu menaikkan harga makanan di kafenya.

“Kita tidak mahu naikkan harga. Walaupun kami tidak didaftarkan di bawah GST kerana nilai jualan tahunan kurang daripada RM500,000 tetapi ini semua bergantung kepada pembekal.

“Jika pembekal menaikkan harga, mahu atau tidak kita harus menaikkan harga makanan kita. Cuma kita tidak kenakan GST kepada pelanggan.

Ibrahim turut berkata pihaknya masih menunggu harga dari pembekal.

“Setakat ini kita pun tidak tahu apa-apa. Kita harus menunggu keputusan pembekal. Walaupun bisnes kami adalah bisnes kecilan, tetapi kita tetap terjejas dengan GST,” katanya.

Ibrahim juga tertanya-tanya bagaimana restoran lain akan melaksanakan GST.

"Kalau di Singapura, harga yang kita lihat di papan tanda atau buka menu adalah harga yang kita bayar. Saya tidak tahu kalau restoran-restoran yang besar di Malaysia akan menggunakan kaedah yang sama," jelasnya.

Asyraf Adlan yang memiliki sebuah kafe di Empire Damansara turut berkata syarikat beliau tidak didaftarkan di bawah GST kerana nilai jualan kurang daripada RM500,000 namun ia semua bergantung kepada pembekal.

“Setakat ini pembekal masih tidak menaikkan harga dan kita pun tidak akan menaikkan harga,” katanya.

Ditanya jika bisnes beliau akan terjejas oleh kerana GST, Asyraf berkata: “Saya masih tidak pasti tetapi saya rasa golongan yang keluar makan tengahari ketika hari bekerja akan tetap sama.”

cafe
Budaya makan di luar begitu sebati dengan penduduk bandar dan di kalangan eksekutif muda. -Gambar fail

Sementara itu, beberapa orang ramai yang ditemui turut berkata GST tidak akan mengubah budaya makan luar dengan begitu drastik.

Eksekutif Pembangunan Perniagaan Danial Ariff berkata beliau akan makan di luar sebanyak empat hingga enam kali sebulan dan belanja sebanyak RM200 hingga RM300 dalam tempoh yang sama.

“Ia tidak akan menjejaskan perbenlanjaan saya kerana GST menggantikan cukai sedia ada dengan nilai yang sama. Cuma saya akan memilih di mana saya makan berdasarkan kualiti dan meneliti cukai perkhidmatan untuk mendapatkan nilai yang terbaik,” katanya.

Seorang eksekutif muda, Razak Izwan, berkata beliau tiada pilihan dan sering makan di luar.

“Saya akan berbelanja sebanyak RM1,000 sebulan dan saya makan di luar setiap hari.

“Sebagai seorang bujang, saya memang tiada pilihan. Memang GST ini akan menjejaskan kewangan saya, tetapi saya tetap harus makan, kan?” katanya.

Semalam, beberapa orang ramai yang ditemui berkata walaupun GST akan membebankan mereka, namun mereka mempunyai formula tersendiri dalam perbelanjaan mereka.

GST akan dilaksanakan pada 1 April. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang GST, layari laman web gst.astroawani.com.