MUSTIKA hati rakyat Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 40, menepis dakwaan sesetengah pihak yang menganggap diriya terlalu obses terhadap anak perempuannya, Siti Aafiyah Khalid.

Siti sebaliknya menyifatkan segala gambar, video dan momen yang dimuat naik di Instagram dan YouTube hanyalah untuk simpanan buat dirinya dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa untuk masa akan datang.

Menurutnya, dia juga merasakan tindakan itu sebagai perkara normal yang sering dilakukan kaum ibu.

"Biasalah ibu-ibu nak tengok segala perkembangan anak dia dari kecil. Saya juga selalu pesan supaya pengasuh rakam apa sahaja gelagat Aafiyah.

"Ye lah, kita sibuk kadangkala terlepas perkara dan momen manis. Soal terlalu obses juga rasanya tidak benar sebab saya tidaklah selalu muat naik, ada masa tertentu juga," katanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Anta Permana itu, isu tersebut juga bukan satu kesalahan kerana dia telah menunggu kehadiran Aafiyah selama 11 tahun.

"Ketika usia 39 tahun barulah saya dikurniakan cahaya mata. Kita dah tunggu berapa lama, jadi yang bercakap itu mungkin anaknya ramai," katanya

Siti ditemui ketika majlis pelancaran Kayuhan Wanita 2019 perkarangan pejabat Kementerian Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya, semalam.

Dalam majlis itu Siti dipilih sebagai Ikon Selebriti bagi mempromosikan program yang bakal berlangsung pada 26 Oktober ini.