ABANG kepada pelakon sensasi Emma Maembong, Bakri Maembong, dipilih menjadi salah seorang daripada anggota baharu kumpulan Kashmir Stone.

Selepas 15 tahun tidak aktif dalam dunia hiburan tempatan, Kashmir Stone yang dianggotai tiga ahli muncul bersama sebuah album baharu.

“Ketika ini saya rasa kami punyai hubungan sangat baik sesama sendiri.

“Mereka masing-masing merupakan pemuzik yang sangat berpengalaman, jadi mereka telah memberikan hasil yang terbaik untuk album ini,” kata vokalis Kashmir Stone, John Guna.

Kemunculan semula Kashmir Stone bertitik tolak daripada sokongan dan cadangan peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka sejak dahulu.

“Sebenarnya saya sudah berputus asa, tetapi apabila ada peminat yang datang kepada saya meminta untuk saya kembali berkarya saya terinspirasi untuk kembali muncul.

“Jadi saya rasa saya patut memberikan sesuatu buat peminat Kashmir Stone,” tambahnya ketika ditemui pada penggambaran muzik video single terbaharu Kashmir Stone, Road Tilley, di Pulau Carey, Klang, Selangor baru-baru ini.

Muzik video lagu tersebut berkonsepkan Tamil Nadu dan melibatkan babak-babak tarian dan lakonan daripada anggota band itu sendiri.

Uniknya album terbaharu Kashmir Stone, sebanyak 10 buah lagu dimuatkan dan dua daripadanya merupakan lagu berbahasa Melayu.