PENGACARA popular tanah air, Datuk AC Mizal kekal sebagai pengacara Anugerah Lawak Warna (ALW) 2015 yang kini masuk edisi yang ketiga.

Menurut Ketua Pengisian dan Saluran Komedi Astro, Bob Azrai, pemilihan AC Mizal berdasarkan prestasi cemerlang dalam mengendalikan dua majlis ALW yang sebelum ini.

"Kami (pihak Astro Warna) sebulat suara mengekalkan AC Mizal sebagai pengacara kerana merasakan beliau merupakan satu-satunya pengacara yang berupaya untuk mengemudi majlis anugerah sehebat Anugerah Lawak Warna.

"Pemilihan AC Mizal juga berdasarkan prestasi cemerlang beliau dalam mengacarakan edisi Anugerah Lawak Warna sebelum ini," ujar Bob Azrai dalam sidang media ALW 2015 di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur.

Jelasnya, ALW 2015 turut menampilkan dua pengacara sampingan iaitu Zulin Aziz dan Sherry Al Hadad yang turut membantu memeriahkan program tersebut.

"Kehadiran Zulin Aziz dan Sherry Al Hadad merupakan kelainan untuk tahun ini. Kami amat yakin gabungan tiga pengacara berpengalaman ini mampu menggempakkan lagi suasana ALW 2015 kelak,” kata Bob Azrai kepada Astro Gempak.

Tambahnya lagi, penganjuran tahun ketiga ALW adalah kerana berjaya mencapai matlamat mengiktiraf bidang komedi tanah air.

"Memasuki tahun ketiga, kami di Astro amat berbangga kerana berjaya mencapai matlamat untuk mengkitiraf bidang komedi seterusnya meningkatnya martabat ke suatu aras yang sangat membanggakan," jelas Bob Azrai.

Dengan bertemakan 'Celebration', sebanyak 13 anugerah terbaik, empat anugerah popular dan satu anugerah khas juri bakal menjadi rebutan. Juri profesional telah dilantik untuk memilih barisan finalis yang terbaik berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

ALW 2015 bakal bersiaran pada 21 Ogos dari Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bermula jam 9 malam menerusi Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (saluran 134).

Karpet Lawak Warna bagi ALW 2015 pula bakal bersiaran di saluran yang sama bermula jam 8.30 malam. Jihan Muse dan Shuk Balas bakal bertindak selaku pengacara Karpet Lawak Warna.

Layari www.anugerahlawakwarna.com.my untuk maklumat lanjut mengenai cara-cara mengundi pencalonan Anugerah Lawak Warna 2015.