PELAKON yang terkenal menerusi drama Kekasih Paksa Rela, Intan Najuwa meluahkan rasa kesal dengan tindakan segelintir netizen yang gemar menjatuhkan hukum tanpa mengetahui perkara sebenar.

Menerusi beberapa posting di yang dimuat naik di Insta Stories, laman Instagram miliknya, Intan mempersoalkan adakah saksi di mahkamah termasuk sebagai penjenayah.

"Jadi beritahu saya, siapa saksi dalam undang-undang? Siapakah saksi di dalam mahkamah? Adakah jadi saksi dikira sebagai penjenayah juga? Itu kefahaman korang tentang saksi?" luahnya.

Tambah Intan, tindakan netizen yang terus menerus menghina dirinya di laman sosial hanya akan mendatangkan fitnah semata-mata.

"It's okay kamu boleh terus bawangs. Kamu akan tahu kebenaran dan saya tidak kisah kerana saya percaya kepada kifarah. Apa yang kamu beri kamu akan dapat balasan.

"Teruskan menghina dan caci tanpa mengetahui perkara sebenar. Memang hobi sebarkan fitnahkan?" ujarnya.

Khamis lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dalam kenyataan media mencari tiga orang saksi yang dikehendaki hadir ke Mahkamah Shah Alam pada 8 hingga 10 Oktober ini berkaitan kes dadah.

Bagaimanapun, dalam satu temubual bersama mStar Online Intan berkata, dia tidak terlibat dengan sebarang penyalahgunaan dadah seperti disangka, sebaliknya hanya diminta tampil sebagai saksi bagi membantu siasatan polis.

Kata Intan lagi, kes itu sebenarnya sudah lama berlaku iaitu kira-kira tiga tahun lalu namun perbicaraan masih lagi berjalan.

Dalam pada itu, Intan turut menutup ruangan komen di Instagram miliknya berikutan komen negatif netizen berhubung isu berkenaan.

Dia turut mengingatkan netizen agar membaca artikel berkaitan dirinya bagi mengtahui perkara sebenar yang berlaku.

"Tajuk memang gempak polis cari dia tapi apa? Baca keseluruhan artikel, lepas tu baru buat kesimpulan," ujarnya.