KITA mungkin hanya nampak luaran seseorang dan terus buat kesimpulan tanpa tahu rahsia sebenar di sebalik susuk tubuh. Sangkaan kita mungkin tepat atau mungkin juga jauh tersasar daripada hakikat sebenar.

Perkara ini dirungkai pengarah terkenal M. Night Shyamalan menerusi karya terbaharunya Glass.

Bagi yang mengikuti hasil arahan pengarah kelahiran India berusia 47 tahun ini, pasti ternanti-nantikan filem genre thriller ini. Ia adalah sekuel bagi dua filem arahannya sebelum ini iaitu Unbreakable (2000) dan Split (2017).

Glass menyatukan tiga watak utama The Beast (James McAvoy), David Dunn (Bruce Willis) dan Mr Glass (Samuel L. Jackson) dalam sebuah rumah sakit mental. Mereka dirawat seorang pakar psikiatri lakonan Sarah Paulson yang amat yakin trio ini ada kuasa luar biasa.

Tepat atau tidak sangkaan ini hanya akan dapat diketahui apabila filem ini membuka tayangannya di seluruh dunia pada 18 Januari 2019 nanti.