SALAH satu perkara yang paling dinanti apabila menonton filem adi wira pastinya adegan tempur di antara watak wira dan penjahat.

Ideologi pihak baik menewaskan kejahatan tidak hanya tertumpu pada pertembungan antara karakter antagonis dan protagonis sahaja, lantaran kesan sampingan persekitaran turut terkesan daripada perlawanan kedua teraju utama itu.

Laman Home Advisor membuat pemerhatian terhadap sembilan filem blokbuster adi wira lalu mengkaji kesan kerosakan yang dialami dunia rekaan itu sepanjang penayangan filem-filem berkenaan.

Ketahui sama ada para adi wira mahupun supervillian yang sebenarnya melakukan lebih banyak kerosakan dalam tempoh beberapa jam watak cereka ini beraksi di layar perak.


Avengers: Age of Ultron

Dianggap sebagai karakter adi wira, namun Hulk telah melakukan pelbagai kemusnahan teruk di sebuah bandar di Afrika semasa mindanya diganggu oleh Wanda Maximoff.

Ultron, Avengers: Age of Ultron
Kecerdasan buatan, Ultron menjadi watak antagonis dalam filem Avengers: Age of Ultron. -Foto AFP

Secara rambang, Hulk memusnahkan lif, tangga, jalan raya, keseluruhan pasar terbuka, tiga buah bangunan dan banyak kereta.

Berbicara mengenai kemusnahan, watak penjahat dalam filem ini iaitu Ultron dan konco-konco robotnya telah membinasakan keseluruhan negara rekaan Eropah dipanggil Sokovia.


Guardians of the Galaxy

Disebabkan jalan ceritanya banyak berlaku di angkasa lepas, kumpulan Star-Lord dan rakan-rakannya Gamora, Drax, Groot dan Rocket hanya melakukan kerosakan terhadap lima buah kereta sepanjang 122 minit filem berjalan.

Star-Lord
Chris Pratt melakonkan watak Peter Quill/Star-Lord dalam filem Guardians of the Galaxy. Foto AFP

Peperangan terakhir sekitar pengakhiran cerita akhirnya memusnahkan sebahagian bandar Xandar yang diduduki Empayar Nova.

Watak antagonis, Ronan menggunakan senjatanya Warhammer dan mengetuai angkatan perang bagi memusnahkan Xandar.


Iron Man 3

Pertempuran epik dalam filem yang dikeluarkan pada tahun 2013 ini, Iron Man berjaya menewaskan pasukan musuh namun mengakibatkan kerosakan teruk terhadap kawasan limbungan kapal.

Tony Stark, Iron Man
Robert Downey Jr sebagai Tony Stark dalam filem Iron Man 3 (2013). -Foto AFP

Bagaimana pula dengan kumpulan penjahat? Aldrich Killian lakonan Guy Pearce bersama pengikutnya yang menggunakan virus Extremis hanya memecahkan beberapa tingkap, memusnahkan menara air selain mengalahkan pasukan Air Force.


Man of Steel

Superman boleh dianggap sebagai salah satu superhero paling popular di dunia. Namun dalam persembahan terbaharu filem adi wira yang dikeluarkan pada 2013, Superman lebih banyak menyebabkan kerosakan berbanding para penjahat.

Superman
Man of Steel adalah adalah filem keenam Superman di layar perak. Foto AFP

Semasa remaja, Clark Kent menyebabkan bas sekolah terhumban ke dalam sungai.

Clark sebagai Superman pula terbang menembusi dua menara simpanan jagung dan sebuah stesen minyak selain menyebabkan kapal angkasa Zod terhempas ke bandar lalu menyebabkan puluhan bangunan pencakar langit musnah.


The Dark Knight Rises

Jika Superman adalah hero dengan kesan sampingan paling teruk, Batman pula boleh dianggap sebagai pejuang keamanan paling berhati-hati.

Pemerhatian kasar terhadap filem 'The Dark Knight Rises (2012)' mendapati Batman hanya menyebabkan kerosakan terhadap sebuah tingkap selepas menendang Bane ke arahnya.

Batman
Christian Bale sebagai Bruce Wayne/Batman dalam The Dark Knight Rises. Foto AFP

Bane dan kroninya pula menyebabkan kebinasaaan terminal komputer di Bursa Saham New York dan memasang pelbagai letupan di sekeliling bandar Gotham.

Anggaran kerosakan lain meliputi sebuah stadium, beberapa jambatan dan bangunan.


Captain America: The Winter Soldier

Filem penuh aksi ini menampilkan variasi babak kejar-mengejar, tembak-menembak dan perlawanan berskala sederhana.

Namun, Captain America berserta pengikutnya memecahkan puluhan tingkap, kereta, stesen bas dan lain-lain semasa menghalang tiga angkatan helicarrier yang dikendali musuh.

Captain America
Captain America dilakonkan oleh Chris Evans dalam pelbagai siri filem Marvel Cinematic Universe. -Foto AFP

Pada masa sama, kumpulan penjahat yang dinamakan Hydra beserta watak antagonis utama, Winter Soldier hanya memberi impak besar terhadap sebuah bangunan sahaja.


Thor: The Dark World

Pertarungan di antara Thor dan Malekith di pengakhiran filem 'Thor: The Dark World' berlangsung di Kolej Royal Naval yang terletak di London, England.

Thor
Kesinambungan jalan cerita Thor (Chris Hemsworth) diteruskan dalam filem Thor: The Dark World (2013). Foto AFP

Jika dibandingkan dengan filem-filem superhero lain, kemusnahan yang dialami filem kedua Thor ini adalah kecil. Namun para villian dianggap menjadi penyebab perlawanan akhir berlaku maka punca kerosakan boleh ditunding kepada mereka.


The Amazing Spider-Man 2

Spider-Man berjuang menewaskan Oscorp (organisasi yang mengkaji labah-labah) yang berusaha untuk menangkap adi wira itu dalam sekuel kedua filem reboot Spider-Man ini.

Kerosakan yang disebabkan Spider-Man adalah terlalu kecil dan hanya meliputi sebuah pemadam api, pondok telefon dan beberapa buah tingkap.

Spider-Man
Salah satu babak dalam The Amazing Spider-Man 2, antara Spider-Man dan Max Dillon/Electro. Foto AFP

Manakala para penjahat berkait dengan Oscorp (Electro, Rhino dan Green Goblin) telah membinasakan bermacam skrin video, puluhan kenderaan dan sebuah menara jam.

Tidak cukup dengan itu, Electro sahaja telah mengakibatkan lintar pintas yang langsung menyebabkan banyak bangunan runtuh.


X-Men: Days of Future Past

Pasukan X-Men giat berusaha untuk tidak meninggalkan sebarang bukti tentang penglibatan mereka kepada dunia luar.

Jika diamati, hanya kawasan dapur dan peralatan memasak di Pentagon yang rosak dalam usaha membebaskan Magneto di awal cerita.

X-Men: Days of Future Past
Aksi Michael Fassbender sebagai Erik Lehnsherr/Magneto dalam keluaran ketujuh filem X-Men. -Foto AFP

Walaupun tidak sebesar kehancuran dibuat oleh para penjahat dalam filem-filem lain, impak kerosakan yang dilakukan Magneto diakui masih ketara.

Magneto memusnahkan trek kereta api, sebuah stadium bola lisut dan sebahagian daripada Rumah Putih.


Siapa sangka dalam usaha para adi wira mengalahkan niat jahat supervillain, mereka juga tidak terkecuali daripada menyebabkan kesan sampingan yang besar terhadap dunia sekeliling.