PENGARAH dan pelakon Datuk Adflin Shauki mengesahkan adiknya Jefri Adzman Aksan meninggal dunia jam 5.14 petang Rabu.

Berita sedih itu disampaikan Afdlin sendiri menerusi akaun Instagram miliknya.

“Adik lelaki saya, Jefri Adzman Aksan pulang ke rahmatullah hari ini jam 5.14 petang di Hospital Thomson, Kota Damansara.

“Pada yang mengenali adik saya, saya memohon maaf segala kesilapan beliau dan halalkan makan dan minumnya.

“Jika adik saya ada berhutang dengan sesiapa, bolehlah menghubungi saya,” tulisnya di laman Instagram.



Sebelum ini Astro AWANI melaporkan pelakon Bikers Kental itu memohon orang ramai mendoakan adiknya, Jefri selepas dia dimasukkan ke hospital berkenaan selepas terlibat dengan satu kemalangan pada petang Ahad lalu.

"Dia adalah adik yg terbaik yg mana mana abg akan ada. Tolong selamatkan beliau, orang baik ini dan pulihkanlah dia seperti sediakala. Aku hambamu yang hina memohon padamu ya Allah. Selamatkanlah beliau!" doa Afdlin.

Afdlin juga memohon kepada teman-teman dan saudara-mara untuk mendoakan adiknya dipermudahkan segala urusan.

“Ya Allah jagalah mereka, hindarkanlah siksa kubur, elakkan dari azab api neraka, elakkan dari fitnah sewaktu hidup dan selepas mati. Elakkan dari fitnah dajjal. Kejap sangat Allah pinjamkan kau dekat kami jep... Yeop sayang kau jep,” tulis Afdlin.