Penyanyi popular Indonesia, Ahmad Dhani dibebaskan hari ini dari penjara Cipinang Jakarta Timur.

Ahmad Dhani diiringi pegawai penjara meninggalkan penjara Cipinang sekitar jam 9.30 pagi tadi.

Memetik laporan Kompas, Ahmad Dhani keluar dengan memakai baju t-shirt berwarna hitam dan bersongkok selepas dihukum penjara 18 bulan setelah didapati bersalah menyebarkan mesej kebencian di Twitter.

Ahmad Dhani atau nama sebenarnya, Dhani Ahmad Prasetyo, 46 tahun, disambut dengan puluhan peminatnya yang menunggu seawal pagi di luar bangunan penjara tersebut.

Apabila ditanya mengenai kebebasannya, Ahmad Dhani berkata dia akan menjawabnya setelah tiba di kediamannya di Pondok Indah.

Turut kelihatan, isterinya, Mulan Jameela.

Bekas anggota kumpulan Dewa 19 itu ditahan pada 28 Januari lalu atas kesalahan menyebarkan mesej berunsur kebencian dalam tiga kenyataan di Twitter.