Anak tunggal kepada biduanita negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang baru sahaja mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya Ogos lalu bakal bernikah tidak lama lagi. Menurut sumber, perkahwinan mereka akan diadakan pada minggu pertama bulan Oktober.

Aliff Omar, 32 bakal mendirikan rumahtangga dengan seorang doktor gigi yang berasal dari Subang Jaya, Selangor Nur Athira Syed Azmi, 28 setelah dua tahun berkenalan dan mengenali hati budi masing-masing.

Menurut sumber yang rapat dengan keluarga Allahyarham Sharifah Aini ini, Nur Athira ialah seorang gadis yang bersopan-santun dan berbudi bahasa.

Menurut laporan Harian Metro, bapa Aliff, Ali Bakar, 60 berasa bersyukur kerana anaknya itu telah bertemu dengan pilihan hatinya.

“Sebagai ayah, saya bersyukur kerana Aliff sudah bertemu dengan wanita pilihannya," kata Ali.

“Maaf, saya tidak dapat bercakap panjang kerana ia adalah atas permintaan Aliff sendiri. Sama-samalah kita mendoakan yang terbaik buat mereka berdua” katanya seperti yang dilapor Harian Metro.

Majlis pertunangan telah berlangsung secara sederhana pada 23 Ogos lalu di Shah Alam.

Ibu tiri Aliff, Zalinda Haron telah menyarungkan cincin ke jari Nur Athirah sebagai tanda ikatan pertunangan mereka.

Aliff kini sudah pulang ke Madinah untuk menyambung pelajarannya sebelum pulang pada September ini untuk membuat persiapan perkahwinannya.