Satu-satunya anak Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Aliff Omar Ali selamat bergelar suami kepada Nur Athirah Datuk Syed Azmi jam 11 pagi tadi.

Aliff, 32, dinikahkan oleh bapa Nur Athirah sendiri, Datuk Syed Azmi Syed Othman dengan dua kali lafaz di hadapan jurunikah dan kadi, Ustaz Muhd Ariffin Muhd Dalhal dengan mas kahwin RM300.

Aliff tiba di majlis yang diadakan di Shah Alam Convention Centre pada jam 10:40 pagi diiringi bapanya, Ali Bakar dan ibu tirinya, Zalinda Haron serta ahli keluarga yang lain.

Aliff Omar
Aliff Omar tenang di sebelah bapanya, Ali Bakar sebelum majlis bermula. -Foto Hafidah Samat

Nur Athirah menerima lima dulang hantaran, antaranya kamera Go Pro, tas tangan dan kek berbalas tujuh daripada pihak perempuan.

Aliff, pelajar tahfiz di Madinah dan Nur Athirah seorang doktor gigi, mula mengenal hati budi masing-masing lebih dua tahun sebelum membuat keputusan bertunang pada Ogos lalu.


Sharifah Aini, Aliff Omar, Ali Bakar,
Nur Athirah diiringi ibunya ketika tiba di majlis ijab kabul. -Foto Hafidah Samat


Lebih 100 orang hadir di majlis ijab kabul Aliff dan Nur Athirah termasuk nendanya, Umi iaitu ibu kepada Sharifah Aini.

Majlis resepsi meraikan kedua mempelai bakal diadakan Sabtu ini.

Keluarga Aliff
Sanak saudara yang hadir di majlis ijab kabul Aliff dan Athirah. -Foto Hafidah Samat


Bapa saudara Aliff, Datuk Aziz Bakar yang ditemui sebaik sahaja majlis selesai berkata beliau berasa gembira kerana apa yang dirancang berjalan dengan lancar.

“Jika ibunya (Sharifah Aini) masih ada, tentu beliau gembira. Ini adalah hajatnya yang terakhir iaitu untuk melihat Aliff menamatkan zaman bujangnya” katanya.

Allahyarham Sharifah Aini meninggal dunia pada usia 61 tahun pada 5 Julai lalu akibat jangkitan pada paru-paru.