Pemegang watak utama dalam filem lagenda ‘Ali Setan’, Fauziah Datuk Ahmad Daud berkongsi cerita bahawa dirinya hampir tidak membawa peranan Asmidar kerana filem Azura.

Fauziah yang lebih senang dengan panggilan Ogy, 53 berkata ketika ditawarkan berlakon dalam filem Ali Setan, dirinya sedang sibuk dengan proses rakaman suara filem Azura.

Kata Ogy, perkara ini turut menjadi isu besar sehingga dirinya dituduh besar kepala ketika itu.

“Bila tawaran filem Ali Setan datang saya masih terikat dengan kontrak filem Azura, jadi saya terpaksa tolak peranan Asmidar ketika itu.

“Jadi pada masa itu, penerbit filem tidak boleh terima alasan saya. Jadi nama saya telah digugurkan dari filem Ali Setan.

“Isu ini jadi besar juga sehingga saya dituduh besar kepala dan perkara ini tidak pernah saya jelaskan pada mana-mana media sehingga ke hari ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Ali Setan
Ogy dalam satu babak dalam filem Ali Setan - Foto petikan filem

Kemudian setelah empat hari Ali Setan menjalani pengambaran di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, pengarahnya, Tan Sri Jins Shamsudin telah menghubungi Ogy agar segera datang ke USM berlakon sebagai Asmidar.

“Saya terkejut bila dapat panggilan peribadi dari ayahanda (Jins) masa itu kerana mahu saya datang ke USM segera untuk melakonkan watak Asmidar.

“Katanya, tiada orang lain yang boleh pegang watak Asmidar. Jadi saya pun datang ke Pulau Pinang dengan dengan syarat, saya tak mahu ada masam-masam muka di set kerana isu filem Azura itu,” kata Ogy yang berusia 23 tahun ketika memegang watak Asmidar.

Ali Setan
Adegan telur dipecahkan di kepala Ali - Foto petikan filem

Bercerita lanjut mengenai filem itu, apa yang tidak boleh dilupakan adalah ketika melakonkan adegan ‘katak’.

“Itu yang tak dapat saya lupakan (ketawa). Selepas baca skrip, saya beritahu ayahanda yang saya geli dengan katak.

“Ayahanda kata dia akan gantikan dengan katak plastik. Tapi rupanya, dia tetap guna katak ‘hidup’. Apalagi saya terus lari tunggang langgang dan pengambaran tetap diteruskan. Apa yang anda tengok di dalam filem itu adalah larian sebenar bukannya lakonan ya,” jelas Ogy.

Ali Setan
Pelakon tambahan adalah di kalangan penuntut USM sendiri - Foto petikan filem

Menerusi filem itu juga, Ogy dianugerahkan Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia 1986.

Filem Ali Setan yang ditayangkan sekitar tahun 1985 merupakan filem berkisarkan kehidupan pelajar di sebuah univerisiti.

Diterajui oleh Azmil Mustapha sebagai Ali yang nakal dan suka mengusik, dia cuba untuk memikat Asmidar yang merupakan pelajar baru tahun pertama di universiti tersebut.

BACA: #AliSetan30tahun: Apa yang paling diingati ramai mengenai filem ini

Selain Azmil dan Ogy, Ebby Saiful, Datuk Shah Rezza, Datuk Sheila Majid, Allahyarham Izi Yahya dan Liza Abdullah serta dibantu beberapa penuntut USM sendiri berjaya melengkapkan filem ini.

Walau sudah 30 tahun ia ditayangkan, babak-babak dan lagu-lagu dari filem ini tetap segar di ingatan penonton tanah air tak kira usia.

Malah ramai yang turut berpendapat filem berkenaan mendorong mereka menyimpan impian untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana dapat merasakan kehidupan di kampus yang menyeronokkan dari paparan filem tersebut.

Ali Setan