PENYANYI dan pelakon, Amy Mastura terkejut saat menerima berita pemergian bekas pengurus kepada ramai artis popular, Sam Kassim.

Menurutnya, dia telah mengenali Allahyarham sejak mula melibatkan diri dalam industri seni tanah air.

“Saya pernah bekerja secara langsung dengan Allahyarham sejak saya mula menandatangani kontrak dengan sebuah agensi muzik suatu ketika dahulu.

“Allahyarham merupakan seorang yang berdedikasi terhadap kerja, bukan sahaja dari sudut menguruskan perihal artis dibawah jagaannya, tetapi seperti seorang ahli keluarga buat kami.

“Kami (rakan artis) sangat rapat dan selesa bekerja dengan Allahyarham, malah para wartawan juga sangat rapat dengan Allahyarham,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI melalui khidmat pesanan ringkas, Whatsapp pada Isnin.

Sam Kassim atau nama sebenarnya Samsubahri Kassim pernah menjadi pengurus kepada pelakon dan penyanyi terkenal Erra Fazira, Amy Mastura, Noryn Aziz, Anuar Zain, Ning Baizura dan Aiman Tino.

Tambahnya, kehadiran Allahyarham selalunya memberikan keceriaan di mana-mana sahaja dia berada.

“Pemergiannya memberi impak kepada industri seni tanah air. Saya ucapkan takziah buat keluarga Allahyarham, semoga rohnya dicucuri rahmat,” ujarnya.

Sam Kassim menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bukit Antarabangsa, kira-kira jam 5.20 pagi Ahad.

BACA: Sam Kassim, bekas pengurus Erra Fazira dan Aiman Tino meninggal dunia

Sam Kassim atau nama penuhnya, Samsubahri Kassim, 55, menghidapi komplikasi jantung selain penyakit kanser prostat dan hati.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai pegawai perhubungan awam di dua syarikat rakaman.

Selepas itu, Allahyarham menubuhkan syarikat pengurusan acara.

Jenazah dikapan dan disolatkan di Masjid Bukit Antarabangsa. Dikebumikan di kampungnya di Terengganu.