SEBUT sahaja nama Scha Alyahya, siapa tidak kenal? Pelakon, pengacara juga model terkenal ini selalu tampil dengan gaya dan imej yang trendy.

Pun begitu, di bulan mulia ini ada juga yang bermulut lancang, mengecam rambut aktres ini baru-baru ini.

Biarpun dikecam, Scha, 36 tahun, tetap tenang dan katanya semua orang berhak bercakap namun ada adabnya bila menyuarakan perspektif dan pilihan mereka.

"Saya sedar, akal dan hati boleh jadi tipis tanpa adanya semangat yang kuat mahupun asas yang kuat. Saya bersyukur kerana mental dan emosi kuat.

"Dengan adanya media sosial ni, semua nak untuk 2 sen masing-masing sampai lupa adab. Amalkan kebaikan dalam apa sahaja yang anda mahu lakukan atau katakan.

"Tak salah berlainan pendapat dan pilihan, cuma penyampaian kenalah yang sesuai dan tidak perlu kasar," katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada Lara Alana ini berharap masyarakat dan netizen selepas ini menjaga lisan ketika bertutur dan beramal dengan kebaikan.

"Oleh itu, berbuat baik kepada orang lain dan tidak perlu body shaming atau membahan penampilan orang.

"Jadilah insan yang baik dan fahami perbezaan. Dunia memerlukan lebih banyak kebaikan. Selamat Hari Raya yang kedua, harap semua orang mempunyai hari yang luar biasa," katanya lagi.