Anak perempuan Johnny Depp mempertahankan bintang Oscar itu selepas isterinya, Amber Heard mendakwa Depp melakukan keganasan rumah tangga dan memfailkan perceraian.

Lily-Rose Depp yang juga model dalam satu muat naik di Instagramnya berkata bahawa bapanya merupakan seorang yang penyayang terhadap dirinya serta abangnya.

Dalam masa yang sama, bekas isteri Depp, Vanessa Paradis dalam satu surat terbuka kepada portal sensasi TMZ berkata dakwaan Amber terhadap Depp itu adalah ‘keterlaluan’.

Depp telah menerima perintah larangan sementara pada Jumaat selepas Amber muncul di mahkamah dengan mata lebam dan menuduh pelakon tersebut menyerangnya.

Amber, yang memfailkan perceraian di Los Angeles minggu lalu mendakwa menjadi mangsa dera berulang kali Depp.

Foto yang dimuatnaik Lily-Rose Depp yang menyatakan sikap bapanya sama sekali tidak seperti yang didakwa Amber Heard.

Laporan terkini yang tidak diketahui sumber yang dimuat naik Lily-Rose pada Ahad

Amber mengemukakan gambar kepada mahkamah menunjukkan tanda lebam di wajahnya kesan daripada pergaduhan dengan Depp, dia kemudian menyatakan kerisauannya jika dicederakan Depp sekali lagi.

Pelakon dan model itu turut bersumpah dalam kenyataannya itu bahawa Depp telah secara lisan dan fizikal menderanya sepanjang mereka bersama.

Depp dan Amber mula menjalinkan hubungan ketika berlakon bersama dalam filem "The Rum Diary," pada tahun 2011, ketika itu Depp masih bergelar suami kepada pelakon warga Perancis, Vanessa Paradis iaitu ibu kepada Lily-Rose dan Jack.

Laman web berita selebriti TMZ pada Sabtu menyiarkan surat tulisan tangan dari Paradis yang menekankan bahawa tuduhan tersebut bertentangan dengan sikap Depp yang dikenali sebagai sensitif dan penyayang.

Surat tersebut kemudian tersebar luas di media sosial.