Setelah 10 tahun menduda, akhirnya pelakon dan pelawak terkenal tanah air Angah Raja Lawak selamat menamatkan zaman dudanya dengan gadis pilihan hatinya.

Angah atau nama sebenarnya Iskandar Shah Hashim, 38 tahun, sah menjadi suami kepada Amira Asyura Abd Razak, 21 tahun dengan sekali lafaz di kediaman pengantin perempuan di Melaka Perdana Homes Resort, Ayer Keroh kira-kira jam 10.10 pagi tadi.

Angah yang segak berkurta kelabu gelap dinikahkan dengan berwalikan jurunikah, Mohammad Suhaimi Kassim dengan mas kawin seutas rantai emas dan sebutir loket belian selain wang hantaran RM15,000.

Sejurus dinikahkan Angah kemudian mendirikan solat sunat syukur di depan pelamin yang indah dihiasi ros putih selain diletakkan lima dulang hantaran lelaki dan tujuh hantaran perempuan di kanan dan kiri pelamin.

Antara barangan hantaran lelaki untuk perempuan termasuk telekung, kasut, minyak wangi jenama Gucci, kek, beg tangan jenama Versace manakala hantaran perempuan untuk lelaki antaranya kasut jenama Versace, kek, jam tangan dan lain-lain.

Bercadang untuk berbulan madu ke tanah suci Mekah bagi menunaikan umrah bersama isteri, angah berkata dia sememangnya bersyukur dipertemukan dengan amira selepas mula bertentang mata tiga tahun lalu.

Katanya, meskipun Amira masih lagi muda, dia percaya wanita pilihan hatinya itu mampu menjadi isteri yang terbaik.

“Saya bersyukur hadrat Allah kerana diberi peluang sekali lagi kepada saya untuk mendirikan rumah tangga dan terima kasih banyak kepada rakan-rakan dan kepada wartawan.

“Insyaallah… rancangan berbulan madu belum ada lagi. Saya masih lagi ada kontrak bersama sebuah rancangan komedi sampai bulan empat. Kalau ada rezeki insyaallah kita akan pergi umrah,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Amira yang masih menuntut dalam jurusan komunikasi dan pengajian media di sebuah IPTA di Melaka menyifatkan Angah sebagai seorang lelaki yang berdedikasi dan matang sehingga dia jatuh cinta dengan keperibadiannya itu.

Majlis resepsi kedua-dua mempelai akan diadakan esok di Dewan Tun Ali, Bukit Katil Melaka.