Gara-gara tahap kesihatan yang tidak mengizinkan, konsert 'Yonder Music Live Series By The Lake - Anuar Zain & You' yang dijadualkan berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana hari ini tidak dapat dipentaskan.

Anuar yang dijadualkan membuat persembahan solo pertamanya bersama Yonder Music terpaksa akur dengan nasihat doktor yang memerlukan beliau berehat kerana kehilangan suara.

Anuar dalam satu kenyataan pada Sabtu, memohon maaf kepada peminat dan semua pihak terlibat di atas pembatalan konsert itu.

"Saya memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat di atas situasi yang tidak dapat diduga ini. Ia merupakan satu keputusan yang amat sukar dilakukan,” kenyataan tersebut menyebut.

"Diharap anda semua dapat mendoakan kesihatan saya," kata Anuar.

Penyanyi yang kini sinonim dengan lagu balada, “Andainya Takdir” itu dijadualkan mendendangkan 14 lagu dalam konsert tersebut.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yonder Music, Adam Kidron turut melahirkan duka cita di atas pembatalan konsert itu.

"Pihak kami difahamkan Anuar telah kehilangan suaranya pada hari ini dan dinasihatkan agar tidak meneruskan konsert seperti yang direncanakan.

"Biarpun ia amat mendukacitakan pihak kami dan peminat, namun kami perlu mengutamakan kesihatan beliau. Semoga beliau cepat sembuh. Beliau sememangnya seorang yang Hear Forever dalam hati kami semua," ujar Adam.

Sebarang informasi terkini terutama mengenai tiket, akan dimaklumkan dalam masa terdekat.