DISEMBER 2013, dunia sukan permotoran Formula 1 (F1) dikejutkan dengan berita kemalangan melibatkan legenda sukan itu Michael Schumacher.

Juara dunia tujuh kali itu mengalami kecederaan otak selepas terjatuh ketika bemain ski di Banjaran Alps. Schumacher, 49, diletakkan dalam keadaan koma selama enam bulan bagi memudahkan proses rawatan.

Dia kini ditempatkan di kediamannya di Lake Geneva bagi menerima rawatan lanjut. 15 pakar perubatan dan jururawat ditugaskan bagi memantau perkembangannya 24 jam sehari. Kos rawatan dilaporkan 115,000 Pound seminggu.

Sejak sekian lama pihak keluarga tidak buka mulut mengenai keadaannya. Minggu lalu menerusi pengurus Schumacher, Sabine Kehm ada hasrat yang disuarakan.

“Apa yang boleh dikatakan di sini keluarga Schumacher amat menghargai simpati peminat.

“Orang ramai tahu dan faham (situasi kesihatannya) tidak akan dikongsi kepada umum,” jelas Kehm.

Kenyataan ringkas ini dibuat menjelang perlumbaan pembukaaan F1 di Australia hujung minggu ini selepas tiga bulan berehat.

Pada sesi ujian di Sepanyol baru baru ini satu kain rentang dipasang sebagai penghormatan kepada insan yang pernah mewarnai dunia F1 selama dua dekad itu.