Susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok, Astro sebagai sebuah stesen penyiaran utama negara bertindak kreatif dan inovatif dalam menampilkan sajian kandungan yang luar dari kebiasaannya kepada penonton.

Sehubungan itu, produksi Astro Ceria untuk pertama kalinya memperkenalkan, ‘Ceria Online Star’, sebuah program realiti maya atau digital yang bakal mempersembahkan aneka bakat dan ragam kanak-kanak dalam mempamerkan kebolehan masing-masing menerusi dalam talian.

Menurut Ketua Saluran Astro Ceria, Cecilia Wong idea itu selari dengan saranan kerajaan untuk menangguhkan produksi program hiburan di studio yang melibatkan perhimpunan ramai.

“Kami membawakan ‘studio’ kami ke rumah peserta masing-masing dengan program realiti maya terbaharu ini.

“Program ini boleh dilihat sebagai pembuka langkah inovatif ke arah norma baharu industri hiburan, di mana sesi ujibakat, persembahan, penjurian dan penentuan pemenang semuanya di buat secara atas talian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, setiap peserta akan dinilai secara atas talian oleh dua orang juri profesional iaitu penyanyi popular, Ernie Zakri dan selebriti versatil, Mark Adam.

“Kami percaya, dengan inisiatif ini, anak-anak boleh menggunakan akaun media sosial masing-masing dengan lebih bermanfaat dan produktif, di samping mengasah bakat dalam bidang nyanyian, lakonan dan sebagainya, bagi membantu meningkatkan tahap keyakinan mereka,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Wong berkata sesi ujibakat bagi program itu juga dibuat menerusi laman media sosial, Instagram yang berlangsung sejak 1 April lalu dan telah menerima lebih dari 900 penyertaan.

Namun, katanya, hanya 20 penyertaan yang terbaik akan dinilai 100 peratus oleh kedua-dua juri.

Sementara itu, peserta Top 20 juga boleh memenangi ‘Anugerah Pilihan Penonton’, yang akan diadili oleh penonton berdasarkan bilangan tanda ‘suka’ pada video setiap peserta yang dimuatnaik ke laman Instagram Astro Ceria.

Selain itu, pemenang bagi program tiga episod istimewa ini akan menerima wang tunai sejumlah RM3,000 (Juara), RM1,500 (Naib Juara) dan RM1,000 bagi tempat ketiga.

Pemenang ‘Anugerah Pilihan Penonton’ pula akan menerima hadiah kemenangan sebanyak RM500.
Untuk perkembangan terkini mengenai rancangan ini, orang ramai boleh melayari laman web, Facebook dan Instagram rasmi Astro Ceria, serta menggunakan tanda pagar #CeriaOnlineStar.

* ‘Ceria Online Star’ bakal bersiaran untuk tiga hari berturut-turut di saluran Astro Ceria (631) dan Ceria HD (611) bermula esok (15 April) sehingga 17 April pada pukul 7.00 petang.

* Untuk pilihan lebih fleksibel, program Ceria Online Star ini juga boleh distrim melalui Astro GO dan on demand.