MEASAT Broadcast Network Systems sendirian berhad atau Astro merintis kerjasama dengan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan global station bagi menyediakan kandungan yang lebih berkualiti.

Kerjasama melibatkan aspek penyelidikan dalam usaha menghasilkan lebih banyak dokumentari berunsur keislaman yang lebih bermutu menerusi produksi tempatan.

Naib Presiden kandungan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, penghasilan dokumentari kegemilangan empayar Uthmaniyah yang bakal diterbitkan Astro diharap dapat berjalan lancar menerusi kerjasama ini.

Beliau menyifatkan kerjasama antara Astro, USAS dan syarikat penerbitan tempatan, Global Station Sendirian Berhad di dalam penerbitan dokumentari bercorak islamik adalah tepat pada masanya.

“Kami di Astro akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan segala promosi dan usaha-usaha untuk memastikan yang program dokumentari ini siap, rakan-rakan kami yang ada di merata dunia mungkin dapat membantu supaya program ini dapat diambil juga di pasaran antarabangsa.

“Saya rasa ini hanya satu titik permulaan dan banyak lagi khazanah sejarah dunia islam yang boleh dipersembahkan di mata dunia,” jelas Datuk Khairul Anwar Salleh di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Astro, USAS dan Global Station di universiti berkenaan di Kuala Kangsar, Perak hari ini.

Khairul mewakili Astro manakala USAS diwakili naib canselornya, Tan Sri Profesor Doktor Nordin Kardi dan Global Station diwakili penerbit, Datin Zaiton Mohd Jiwa. Hadir sama pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Mohamad Khusairi Abdul Talib.

Menurut Zaiton juga, projek tersebut adalah selaras dengan sasarannya untuk menghasilkan program-perogram yang berbentuk islamik, terutama yang menceritakan tentang empayar islam, kegemilangan islam masa dahulu.

“Kita baru di peringkat permulaaan, peringkat penyelidikan dan menyediakan bahan yang akan dilakukan oleh pihak USAS, selepas semua bahan tersedia, kita akan memulakan pengambaran di Turki, sekarang ini bukan masa sesuai lagi untuk ke Turki. InsyaAllah rasanya dalam dua tiga bulan yang akan datang,” kata Zaiton kepada media.

Sementara itu, Mohamad Khusairi berkata, Finas sentiasa mengalu-alukan bentuk kerjasama seumpama itu kerana bahan-bahan yang berbentuk sejarah islam amat kurang pada ketika ini.

“Berdasarkan apa yang telahpun dibincangkan antara ketiga-tiga pihak, iaitu USAS, pihak Global Station dan juga Astro, saya yakin bahawa dokumentari berkenaan kegemilangan empayar Uthmaniyah ini dapat digarap dan diketengahkan dalam bentuk yang lebih objektif,” kata pengerusi Finas itu.