Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) menyasar untuk meningkatkan penembusan isi rumah perkhidmatan televisyennya di negara ini kepada 75 peratus menjelang akhir 2017 daripada 71 peratus atau lima juta isi rumah ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Rohana Rozhan berkata pertumbuhan itu akan dipacu melalui peningkatan permintaan NJOI, televisyen satelit langganan percuma.

Beliau berkata Astro menyaksikan pertumbuhan capaian dan penglibatan di semua platform, perkhidmatan televisyennya mencapai lima juta isi rumah, termasuk televisyen berbayar (3.4 juta) dan NJOI (1.6 juta), dengan tontonan purata selama empat jam.

"Kami akan terus mengembangkan NJOI dan pada masa yang sama mengekalkan pelanggan berasaskan langganan.

"Kami berpendapat tiada sebab bagi pelanggan untuk tidak melanggan NJOI dan kami sememangnya berhasrat menjadikannya lebih menarik bagi tahun-tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan kewangan sembilan bulan Astro bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2017.

Lebih ramai pelanggan Astro turut mengikuti kandungan Astro melalui peranti mudah alih dan 'on demand', katanya, dengan menambah 'Astro on the Go' (AOTG) mencatatkan peningkatan pengguna berdaftar 31 peratus tahun ke tahun kepada 1.1 juta dengan tempoh tontonan purata 130 minit seminggu.

"Setakat ini terdapat kira-kira 2.7 juta muat turun bagi AOTG dan kami menyasarkan untuk meningkatkan kepada lima juta muat turun menjelang akhir tahun depan," katanya.

Rohana berkata bahagian penonton televisyen Astro juga meningkat satu peratus kepada 77 peratus memandangkan ia terus menawarkan saranan kandungan menyeluruh dan menarik kepada penonton dengan tumpuan kepada hasil karya asli, filem tempatan dan ASEAN, sukan dan hiburan Korea.

Beliau berkata, ini meningkatkan kerelevanan kumpulan Astro dalam kalangan para pengiklan dengan perbelanjaan pengiklanan berkembang 13 peratus tahun ke tahun kepada RM524 juta dengan bahagian televisyen dan radio masing-masing meningkat kepada 37 peratus dan 73 peratus.

Perolehan putara Astro mengikut setiap pengguna bagi tempoh sembilan bulan turut meningkat kepada RM99.9 daripada RM99.3 disokong peningkatan pembelian produk dan perkhidmatan nilai tambah.

Mengenai kos kandungan tahun ini, Rohana menjangkakan ia akan mencecah kira-kira 36 peratus daripada perolehan televisyen Astro susulan penganjuran lebih banyak temasya sukan tahun ini, manakala bagi tahun depan, kos itu diunjur kekal pada paras sama atau berkurangan.

Bagi melangkah maju, untuk tahun kewangan penuh 2017, syarikat itu menjangkakan untuk terus meningkatkan perolehannya sebanyak tiga peratus dengan trajektori sumbangan perolehan perbelanjaan pengiklanan kira-kira 13 peratus. -- Bernama