#AWANITA: Inspirasi wanita dalam lagu

#AWANITA: Inspirasi wanita dalam lagu
Bersempena Hari Wanita Sedunia ini, Astro AWANI kongsikan lagu-lagu yang menjadikan kaum Hawa sebagai inspirasi.
DALAM apa saja kejayaan yang dicapai, kita tidak boleh menafikan peranan yang dimainkan oleh seorang wanita.

Demikian juga setinggi atau sejauh mana seseorang individu itu melangkah sekalipun, wanita sering menjadi inspirasi.

Lalu, kerana itu, tidak hairan kenapa wanita sentiasa diabadikan dalam pelbagai karya seni termasuk lagu-lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi tanah air.

Bersempena Hari Wanita Sedunia yang diraikan hari ini, Astro AWANI senaraikan antara lagu-lagu yang dihasilkan oleh karyawan muzik tanah air yang berkisarkan mengenai wanita.

Karya-karya hebat ini sebagai menzahirkan rasa kasih dan sayang kepada kaum wanita yang telah berkongsi kecintaan mereka dengan seluruh dunia.

Wanita, kau ciptaan istimewa...

* Wanita (Salamiah Hassan)

Lagu yang bertajuk “Wanita” ini sangat signifikan setiap kali sambutan Hari Wanita kerana pernah menjadi lagu tema Hari Wanita Sedunia suatu masa dahulu.
Lagu Wanita dipopularkan oleh Salamiah Hassan, seorang penghibur tersohor di era 1970-an.

* Isabella (Search)

Jika anda tidak tahu lagu Isabella, anda bukanlah pencinta muzik tanah air. Isabella saling tidak ubah sebagai 'lagu kebangsaan' bagi penggemar muzik rock.

Sudah berusia 30 tahun, Isabella ciptaan komposer Datuk M. Nasir dan lirik tulisan Bob Lokman serta dinyanyikan oleh kumpulan rock legenda, Search ini menceritakan perbezaan dua fahaman agama antara seorang lelaki Melayu dengan wanita berbangsa asing.

* Wanita (Datuk Sheila Majid)

Di dalam keayuan,
Ada kekuatan
Engkaulah racun
Kau penawar...


Demikian bait-bait lirik lagu Wanita nyanyian Datuk Sheila Majid yang cukup masyhur sekitar 1995.

Lirik lagu Wanita dihasilkan oleh Habsah Hassan manakala lagu berkenaan merupakan karya...

Ini juga sebuah lagu yang sarat bercerita mengenai kehebatan seorang wanita.

* Untukmu Ibu (Exists)

Siapa mampu melupakan lirit penuh syahdu dalam lagu Untukmu Ibu nyanyian Exists.

Oh ibu.. kau disiram bayu pagi..
kehilangan terasa kini.. dan kesepian...


Boleh gugur air mata jika anda mendengar lagu ini seraya mengenangkan pengorbanan dan kehilangan wanita bernama ibu.

* Azura (Datuk Jamal Abdillah)

Azura merupakan sebuah lagi naskhah hebat yang menceritakan bagaimana seorang lelaki mendambakan wanita yang amat disayanginya.

Dihasilkan pada 1984, rintihan dalam Azura nyata membuktikan wanita mempunyai magis yang cukup hebat dalam mencuri dan menawan hati seorang lelaki!

* Wanita (KRU)

Gabungan tiga beradik Norman, Yusry dan Edry memperkenalkan diri mereka sebagai KRU di awal 1990-an tidak ketinggalan menghasilkan melodi dan lirik khusus menghargai kaum wanita.


NOTA: Selain lagu-lagu di atas, banyak lagi lagu lain berkisarkan wanita yang pernah dihasilkan. Antaranya seperti berikut:

* Saleha (Mawi)
* Sofea Jane (Black)
* Amalina (Santesh)
* Kamelia (Sweet Charity)
* Nur Nilam Sari (Awie menampilkan Search)
* Fiona (4U2C)
* Rozana (Search)
* Zalikha (Floor 88)
* Oh Fatimah (A Ramlie)
* Mas Mona (Jefrydin)
* Mawar Putih Buat Mama (Allahyarham Datuk Sharifah Aini)
* Ibu (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee)
* Embun (Aqasha)