"BAHASA bukan penghalang...kerana muzik adalah universal."

Itu reaksi penyanyi rap, Joe Flizzow yang berjaya memenangi kategori Artis Terbaik Asia Tenggara bagi Anugerah Muzik Eropah MTV 2018.

Menurut Joe, kebanyakan artis di Malaysia sudah mula selesa. Dan persepsi ini harus diubah.

"Artis Malaysia tidak mahu pergi peringkat antarabangsa. Kalau kita tengok artis kebanyakan kira-kira 95 peratus artis Malaysia.

"Mungkin mereka berasa gembira di mana mereka berada atau mereka merasakan bahasa Malaysia tidak boleh diterima di peringkat antarabangsa.

"Saya harap kemenangan saya menjadi inspirasi kepada artis lain. Saya menang Best Asia Act, tapi kalau kita lihat lima single terakhir saya dalam bahasa Malaysia, cuma satu dalam bahasa Inggeris.

"Ini membuktikan muzik itu universal; bahasa bukan penghalang. Artis-artis Korea telah membuktikan dan kita harus mengambil contoh."


Joe turut berpendapat identiti seorang penyanyi itu penting kerana ia menunjukkan keikhlasan sebagai seorang karyawan.

"Bagi saya, saya mengikut kehendak diri dan peminat. Ini bukan benda baharu. Trend ini tak boleh ketepikan terus atau 'marketing strategy', tapi paling penting sebagai penulis lagu, penggiat muzik dan pengkarya... kita kena jujur.

"Tidak boleh (berfikiran) 'saya buat lagu ini kerana mahu lagu dimainkan di radio'. Saya ada banyak lagu yang tidak dimainkan di radio di Malaysia. Tapi saya tak kisah, kena jalan terus dan percaya dengan apa yang kita sampaikan dan percaya kepada bunyi kita.

"Walaupun orang belum faham, tapi tak mengapa. Kena ingat bila berkarya, kita kena jujur dan ingat kenapa kita menyanyi in the first place."


Dalam majlis anugerah yang berlangsung di Sepanyol baru-baru ini, Joe menewaskan bintang Asia Tenggara lain seperti Afgan (Indonesia), IV of Spades (Filipina) dan The Sam Willows (Singapura).