MAHKAMAH Majistret Petaling Jaya pada hari ini (Isnin) diberitahu pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil bakal menjalani pembedahan lutut di sebuah hospital di ibu negara dalam masa terdekat.

Berikutan itu, peguam Farid, Faizul Mohd Nasir memohon kepada mahkamah supaya enam sebutan kes jenayah melibatkan aktor itu ditangguhkan sehingga 29 Jun depan bagi membolehkan anak guamnya kembali pulih selepas pembedahan itu.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Fazedah Faik memohon agar kes melibatkan Farid di dengar semula pada 8 Jun depan.

Majistret Nor Ariffin Hisham yang mendengar kes itu membenarkan permohonan dibuat pelakon filem Lagenda Budak Setan itu.


Sebelum ini Farid mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan iaitu memasukkan dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) iaitu dalam kumpulan ganja ke dalam badannya.

Suami kepada aktres Datin Diana Danielle itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira pukul 4.30 petang, 11 Januari 2018.

BACA: Farid Kamil dakwa dipukul 11 anggota polis dalam lokap

BACA: Berkelakuan ganas, Farid Kamil dakwa 3 rakan artis masukkan dadah dalam minuman?

Farid turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan termasuk menampar seorang anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara juga pada 11 Januari lalu. Dia yang ditahan telah dibebaskan dengan ikat jamin pada 16 Januari lalu.

Menerusi prosiding sama, Faizul turut memberitahu mahkamah pihaknya akan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan semua pertuduhan yang dikenakan terhadap Farid.


Terdahulu, Farid turut menghadiri prosiding pengurusan kes atas dakwaan membuat laporan polis palsu dihadapan Majistret Salamiah Salleh juga di mahkamah sama.

Kes laporan polis palsu ini juga akan disebut semula pada 29 Jun depan.

Pada 9 Mac lalu, Farid, 37, mengaku tidak bersalah atas dakwaan tersebut dan minta dibicarakan.

Sumber: mStar Online