Lama juga tidak mendengar khabar vokalis kumpulan Amuk, Bandi dan juga kumpulan 'heavy metal' FTG.

Selepas agak sekian lama tidak menonjol akhirnya mereka ini rupanya akan bergabung dalam satu konsert yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Menurut Rockstage Entertainment, satu konsert yang diberi nama ‘Rockstage 5-Dominasi King Barbarik’ akan dianjurkan yang akan menggabungkan tiga ikon muzik heavy metal iaitu Bandi Amuk, FTG dan Sil Khannaz pada 2 Mac ini bertempat di Stadium Chin Woo.

Lebih menarik, Bandi Amuk akan diiringi oleh pemuzik lagenda rock terkenal iaitu dua gitaris yang tidak asing membabitkan Kid Search dan Shahrul Ekamatra.

Tentunya ia gabungan mantap ditambah lantunan suara keras Bandi yang pernah popular dengan lagu “Akar Dan Bumi”.

Mereka juga akan diiringi oleh Yan Lefthanded sekalu pemain bass dan Ah Tonk Def-Gab-C selaku pemain drum.

Dalam konsert itu nanti Bandi dijangka akan melantunkan semua lagu yang pernah mempopularkannya satu ketika dahulu seperti Ngap Sayot, Rak Relevan, Aku Mahu Pulang selain Jernih.

Begitu juga dengan kumpulan FTG, ramai sebenarnya peminat mereka yang sentiasa menantikan kemunculan mereka.

Dikhabarkan mereka baharu selesai pembikinan album terbaharu mereka yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Namun bagi peminat mereka yang hadir pada konsert tersebut akan turut dihidangkan dengan beberapa lagu daripada album terbaharu mereka selain lagu-lagu popular mereka dari album terdahulu.

FTG yang membawa genre muzik 'Thrash Metal' itu pernah dikenali dengan lagu mereka seperti Rozana, Aku tak peduli dan Malaysia Maju selain Song From The Unwanted Son.

Konsert yang bakal diadakan nanti akan menyaksikan kumpulan metal popular Sil Khannaz yang sangat dikenali dikalangan peminat sebagai sebuah kumpulan yang membawa genre muzik Ekstrem Metal dan telah mengeluarkan album pertama mereka pada 1993.

Kumpulan yang berasal dari Perlis itu akan diserikan lagi dengan kehadiran pemain gitar asalnya CDNaz yang pernah bergerak solo dan terkenal dengan lagunya seperti Terlalu Indah dan Kejora Sahara.

Bagi peminat rock yang meminati muzik berat bawaan mereka, ini adalah masa terbaik untuk melepaskan kerinduan kerana gabungan kali ini ibarat 'Gabungan Berapi' yang jarang sekali menemukan mereka dalam satu pentas persembahan.