Hasil kolaborasi pemain/sutradara Khir Rahman dan Sein Qudsi (dikenali sebagai ahli kumpulan Ruffedge), sentuhan arahan bersama mereka baru-baru ini membuahkan hasil filem seram, 'Bangunan', ataupun 'The Building' untuk pasaran antarabangsa.

Ia mengikuti kisah benar geng produksi filem yang terdiri daripada Khir, Sein, Aqasha, Yusran Hashim, Osh, Azmi Musa dan Wan Shahidi dalam kejadian pelik yang dialami mereka di set bangunan terbengkalai.

Dikategorikan sebagai sebuah 'doku-filem', filem mengambil durasi tayangan yang sama panjang dengan filem 'blockbuster' untuk memperagakan pendekatan kamera yang berani dan terperinci serta suntingan yang rapi dalam mengolah semula 'sebuah kisah benar' seperti yang dijanjikan poster.

Filem 'Bangunan' mungkin ada sedikit unsur 'Paranormal Activity' dalam realisme yang dicapai di sini dan mempunyai kadar keseraman dan suspen yang boleh dikira tinggi dan boleh dipercayai sewaktu menonton di dalam panggung.

Ada juga unsur jurnalisme dan penyiasatan yang ketara di dalam skrip dan jalan ceritanya boleh dikatakan berlapis juga dengan 'watak-watak' yang dibawa oleh pengarah sendiri beserta rakan-rakan mereka.

Filem Bangunan bakal ditayangkan pada 5 Februari ini
Tidak banyak promosi atau kata-kata di jalanan mahupun media sosial namun di tayangan primer yang berlangsung kelmarin di panggung baru (memang masih berbau kedai) GSC Nu Sentral Mall.

Walaupun ramai sahaja wajah-wajah terkemuka industri seni tempatan seperti Erma Fatima, Adibah Noor, Dina dan juga Zain Ruffedge selaku pengacara majlis di samping pasukan pembikin filem 'Bangunan' sendiri iaitu Khir Rahman, Sein Qudsi dan juga Aqasha.

Barisan penerbit ini juga merupakan orang seni yang serba boleh jadi aktiviti promo di belakang filem 'Bangunan' ini juga sedikit lain dari lain, ada dicampurkan dengan nyanyian akustik dan sebagainya semasa tampil sekitar Lembah Klang mewar-warkan filem mereka.

Jadi jelas ditunggu-tunggu barang keluaran Suar Channel bersama Camwerk Studios ini, dan mungkin terkesan dengan babak-babak seram yang padat mengisi filem 'Bangunan' ini.

Berbaloi ditonton dan tidak adil dilonggokkan di bawah reputasi filem-filem seram Malaysia yang lain yang pernah ada, walaupun ia terpaksa 'bertanding' dengan filem-filem seakannya seperti 'Villa Nabila' dan 'Puaka Balai Gombak'.

Namun 'Bangunan' ini tetap punyai potensi tersendiri oleh kerana ia dihasilkan dengan perspektif dan pengaruh yang universal dan tidak terbatas dengan had-had tempatan.

Sambutlah pada awal Februari nanti!

*Filem 'Bangunan' arahan bersama Khir Rahman dan Sein Qudsi memulakan tayang pada 5 Februari di panggung-panggung terpilih GSC.