BAPA kepada mendiang penyanyi Amy Winehouse, Mitch Winehouse, mendakwa kerap dilawati roh anaknya yang telah lebih enam tahun meninggal dunia.

Mitch memberitahu portal The Sun UK, 'kehadiran' Amy sentiasa dirasai di rumah keluarga mereka yang terletak di Kent, England.

'Kehadiran' itu lebih dirasai, kata Mitch, setiap kali hari ulang tahun kelahiran Amy, iaitu 14 September.

"Saya selalu nampak Amy di rumah pada waktu malam. Kadang-kadang dia hanya duduk di tepi katil, memerhatikan saya.

"Saya akan bertanya, 'kamu okeykah?' tapi dia tidak jawab. Saya gementar pada mulanya, tapi lama kelamaan saya mula selesa dan tidak kisah," kata Mitch.

Mitch juga mendedahkan, dia percaya adakalanya roh Amy melawat dia dan isterinya dalam bentuk seekor burung blackbird, yang juga merupakan salah satu daripada imej tatu pada badan ikon muzik itu.

Kata Mitch, seminggu selepas kematian Amy, seekor blackbird terbang dan hinggap di tepi kakinya, dan "menyanyi-nyanyi, seolah-olah cuba untuk menghiburkan saya".

Amy, pemenang lima anugerah Grammy, meninggal dunia pada Julai 2011, selepas bertahun-bertahun bertarung dengan masalah ketagihan alkohol dan dadah.