Bapa kepada pelakon Sasha dan Zain Saidin meninggal dunia di Hospital Melaka pada Selasa malam, akibat komplikasi jantung.

Sasha yang dihubungi Astro Gempak menerusi aplikasi Whatapps berkata arwah bapa kesayangannya itu telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.45 malam.

"Dengan rasa sedih saya ingin beritahu bapa saya telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.45 malam.

"Saya berterima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang memberikan doa dan kata-kata semangat kepada kami," katanya kepada Astro Gempak.

Menurut Sasha lagi, kali terakhir dia bertemu arwah kira-kira tiga minggu lalu ketika ayahnya itu bercuti ke Kuala Lumpur.

Jenazah Mohamad Saidin Osman, 69, dikebumikan di Tanah Perkuburan Ibukota, Danau Kota sebelum Zohor, hari ini.