Produk terbaharu terbitan Disney, Beauty and the Beast, dijangka bakal menjadi salah sebuah filem dengan kutipan pembukaan tertinggi dalam sejarah.

The Los Angeles Times melaporkan, pemerhati filem antarabangsa meramalkan filem tersebut akan mencecah kutipan sekitar AS$170 juta menjelang pagi Isnin.

Di Amerika Syarikat dan Kanada, Beauty and the Beast telah merekodkan kutipan AS$63 juta sejak mula ditayangkan pada Jumaat.

Jika apa yang diramalkan itu menjadi kenyataan, filem lakonan Emma Watson itu akan menjadi filem pertama yang mencecah kutipan lebih AS$100 juta pada minggu pertama tayangan, buat tahun 2017.

Ia juga akan menjadi filem tayangan bulan Mac paling berjaya, mengatasi kutipan AS$165 juta yang dicatat filem "Batman v. Superman: Dawn of Justiceā€ yang ditayangkan Mac tahun lalu.

Beauty and the Beast sebelum ini mencipta kontroversi di beberapa negara, termasuk Malaysia, apabila menayangkan satu babak 'gay moment' berdurasi empat minit.

Ia mengakibatkan tayangannya yang sepatutnya bermula 17 Mac lalu, ditangguhkan.

Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengarahkan agar babak itu dipotong, namun Disney enggan berbuat demikian.

Buat masa ini, belum ada kepastian jika penonton di negara ini akan berpeluang menontonnya di panggung.

TONTON: Kuasa tapis filem di bawah KDN

BACA: Beauty and the Beast tidak diizin siar jika adegan gay tidak ditapis - Nur Jazlan