KUALA LUMPUR:Tiada lagi hantaran di media sosial mengenai aktiviti menaiki basikal selain jarang memuat naik berita kerjaya seninya membuatkan peminat-peminat setia Datuk Seri Siti Nurhaliza tertanya-tanya benarkah buah hati kesayangan Malaysia ini sedang berbadan dua.

Warga netizen saling berbalas pertanyaan mengenai teka-teki ‘kehilangan’ penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu.

Bahkan, turut membuatkan spekulasi terus tercetus ialah apabila anaknya, Siti Aafiyah menyebut 'Aafiyah nak baby ni' dalam siaran langsung menerusi Instagram (IG) ibunya itu.

Bahkan, tindakan spontan Siti Aafiyah mencium perut Siti Nurhaliza berulang kali bagai memberi petanda ibunya itu sedang hamil bayi kedua.

Kepada Siti Nurhaliza, soalan ditanya, benarkah beliau akan menimang cahaya mata lagi dalam masa terdekat,.

Seperti kelazimannya, Siti Nurhaliza tenang menjawab soalan yang ditanya wartawan.

Tidak mengiya atau menafikan, sebaliknya, penghibur tersohor berusia 41 tahun itu meminta semua peminat mendoakan yang baik-baik buatnya.

“Seperti mana ramai yang mendoakan saya hamil anak kedua, saya dan suami juga tidak putus-putus berdoa semoga Allah kurniakan kami seorang lagi cahaya mata.

“Insya-Allah, apabila benar-benar hamil, saya akan berkongsi berita gembira dengan peminat," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi sebentar tadi.

Ditanya mengenai pertanyaan peminat mengenai tindakannya yang tidak lagi aktif berbasilkal seperti sebelum ini, isteri kepada usahawan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu berkata, sebetulnya, jadual hariannya agak padat.

"Saya banyak melalukan kerja di rumah sambil melayan Siti Aafiyah. Ada ketika saya berada di pejabat atau lokasi lain, saya masih keluar rumah, tak ada hilang ke mana-mana,” katanya menjawab keresahan peminat.

Tiga tahun lalu, Siti Nurhaliza menjalani kaedah rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) ketika mengandungkan Siti Aafiyah.

BACA: Siti Aafiyah bakal dapat adik? Siti Nurhaliza jalani rawatan IVF selepas Aidilfitri