DALAM persekitaran dunia media sosial, manusia bebas berkata apa sahaja. Sama ada mahu menyindir, mengkritik atau menghina sesiapa sahaja sekalipun, semuanya boleh dilihat di semua platform media sosial.

Netizen sudah hilang pertimbangan untuk menyuarakan apa sahaja yang terbayang di fikiran mereka tanpa ada rasa sensitif terhadap individu-individu yang menjadi sasaran mereka.

Yang sering menjadi sasaran netizen ialah golongan selebriti yang tidak henti-henti menjadi mangsa melepaskan geram masyarakat.

Di Indonesia baru-baru ini, aktor ternama Anjasmar Prasetya misalnya tidak mampu lagi menyembunyikan rasa marah dan kecil hatinya pada seorang pengguna Instagram yang telah menghina bentuk fizikal isterinya, aktres Dian Nitami

"Masakan kamu kata isteri aku tidak cantik. Aku sendiri tidak pernah mengatakan (jika benar) isteri aku tidak cantik," kata Anjasmara membalas hinaan netizen pada isterinya seperti dilaporkan portal Kompas.

Jawapan balas Anjasmara itu menarik perhatian individu yang memberikan komen tidak manis berkenaan sekali gus mengirim mesej secara peribadi memohon maaf kepada pelakon tampan itu melalui kotak pesanan langsung (DM).

Bagaimanapun, tindakan netizen berkenaan memohon maaf melalui mesej sedemikian masih tidak dapat diterima Anjasmara.

"Dia DM (direct message) katanya minta maaf. Tapi takkan sebegitu saja? Sekadar hantar mesej (melalui Insta Story). Mudah benar (minta maaf)," kata Anjasmara lagi.

Menurut Anjasmara, adalah tidak adil bagi netizen berkenaan memohon maaf semudah itu sedangkan penghinaan yang dilakukan meninggalkan kesan yang sangat besar pada isterinya.

"Kamu tahu tidak yang kamu sudah sakiti isteri saya? Kamu tahu atau tidak saya ambil masa yang cukup lama untuk menjadikan isteri saya yakin pada dirinya sendiri? Sekarang, begitu mudah kamu hancuri (keyakinan diri Dian) dan dengan mudah minta maaf," tegas Anjasmara.

Pelakon drama bersiri Romi dan Juli itu secara peribadi memberitahu, sebolehnya dia mahu menjauhkan diri daripada mempunyai masalah dengan sesiapa sahaja.

Jauh sekali, tegas Anjasmara, untuk memanjangkan konflik sehingga ke peringkat membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Tapi, kalau sampai keterlaluan (tindakan), saya fikir kita harus sama-sama belajar untuk menjadi lebih baik lagi. Saya sebenarnya malas untuk tangani hal-hal sebegini (penghinaan) tapi isteri saya dibuli. Kalau saya dibuli, mungkin saya boleh berdiam diri," sambungnya lagi.

Kemarahan Anjasmara bertitik tolak pada komen mengguris hati seorang netizen terhadap bentuk hidung isterinya sehingga menjadi tular di laman sosial.

"Seharusnya tidak ada masalah kalau kita saling memberikan komen-komen yang membangun," ujar Anjasmara.

Sebelum bertindak untuk melaporkan hinaan itu kepada pihak berkuasa, Anjasmara meminta netizen berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka.

"Jika kamu tidak membuat permohonan maaf baik di media sosial atau di akhbar Kompas satu muka penuh, maka saya tidak akan teragak-agak untuk melaporkan kepada pihak berkuasa," kata Anjasmara memberi peringatan itu di akaun Instagram peribadinya.

Selain di akhbar arus perdana Kompas, Anjasmara juga mahu netizen itu membuat permohonan yang sama di Live Instagram agar dia dan isterinya dapat melihat dengan jelas wajah si pelaku itu.

Anjasmara turut memaklumkan, dia sudah mempunyai senarai latar belakang netizen itu termasuk maklumat mengenai kad pengenalan dan pasport antarabangsanya.