KUALA LUMPUR:Ketika menerima berita berdepan risiko kematian mengejut daripada doktor yang merawatnya, Bob Lokman sangat terkejut.

Namun, rasa terkejut itu diatasinya dengan beristighfar kepada Allah seraya mengingatkan dirinya agar menerima dugaan itu dengan lapang dada.

“Alhamdulillah, saya redha. Saya percaya Allah telah mengatur takdir saya dengan sebaiknya. Saya tidak akan putus asa berubat,” kata Bob yang juga penulis lirik tersohor negara dalam perbualan dengan Astro AWAN pada Isnin.

Dalam perbualan itu, penulis lirik lagu evergreen Isabella (nyanyian kumpulan Search) itu berkata, dia sedang dalam perjalanan menuju Alor Setar, Kedah untuk mendapatkan rawatan sakit jantung di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Kata Bob, atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, doktor menyarankannya menjalani prosedur memasang alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC) yang boleh dilakukan di HSB.

Pemasangan IADC itu kelak, katanya, adalah usaha untuk menstabilkan degupan jantungnya.

Menurutnya, masalah degupan jantungnya yang tidak stabil itu dikesan doktor yang merawatnya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan baru-baru ini.

“Saya menghadapi masalah kadar denyutan jantung yang laju menyebabkan kesukaran proses mengepam oksigen ke otak.

“Justeru, rawatan terbaik yang disarankan oleh doktor ialah memasang IADC bagi menstabilkan kembali denyutan jantung,” ujar Bob yang ditemani isteri dan dua anaknya ke Alor Setar.

Tujuan ke Alor Setar juga, jelasnya, berikutan hanya di HSB dia berpeluang memasang IADC dalam kadar segera memandangkan hospital-hospital lain tidak berkemampuan memenuhi permintaannya.

“Seperti saya katakan, saya tidak akan berputus asa berusaha untuk mendapatkan rawatan asalkan kesihatan saya dapat dipulihkan,” katanya lagi.

BACA: 'Kaki bengkak, menggelembung dan sukar bernafas' - Bob Lokman

BACA: 'Hembuskan aku ke syurga dengan doamu jika namaku gugur dahulu' - Bob Lokman

Pada awalnya, Bob, 56 tahun, berdepan kesulitan untuk mendapatkan dana sebanyak RM60,000 bagi menampung rawatan pemasangan IADC.

Lantaran tiada kemampuan menyediakan kos tersebut, Bob memohon sumbangan daripada seluruh kenalannya bagi membantunya.

Dalam waktu singkat, dana berkenaan berjaya diperoleh menyebabkan Bob tidak menunggu lama untuk dirawat di HSB.

Bob mula disahkan mengalami masalah jantung sejak 1998 dan dia menjalani rawatan secara konsisten dengan mengambil ubat yang dibekalkan doktor.

Selama ini, katanya, kos ubat-ubatannya sahaja mencecah RM700 sebulan, namun, dia tidak berhadapan masalah menyediakan belanja berkenaan.

“Cuma untuk memasang IADC dan rawatan susulan itu yang agak membebankan. Saya mengaku tidak mampu untuk menyediakan jumlah itu (RM60,000),” ujar Bob berterus terang.