MENEWASKAN lima bintang lain, Fitri Haris dinobatkan sebagai juara Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua.

Mengutip 89.27 peratus markah, Fitri membawakan lagu Zinnirah di segmen solo serta lagu Al Nuraa.. Yang 5... Yang 6... di segmen battle.

Fitri merangkul hadiah berupa wang tunai berjumlah RM100,000 bersama trofi sumbangan Astro, penginapan serta layanan VIP di Dorsett Suite Hotel Kuala Lumpur dan kontrak digital radio bersama aplikasi Raku bernilai RM150,000.


Naib juara, Adeep Nahar yang mengutip 89 peratus markah menyampaikan lagu Sedetik Lebih dan lagu Al Nuraa.. Yang 5... Yang 6... di segmen battle.

Bekas vokalis The Fabulous Cat ini membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro dan penginapan eksklusif di Dorsett Residence Kuala Lumpur.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Awi Rafael yang menyampaikan lagu Sandaran Hati dan lagu Pejamkan Mata di pusingan battle.

Awi yang mengumpul 79.6 markah berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM20,000 serta trofi sumbangan Astro.

Tempat keempat pula dimenangi oleh In Team yang menyampaikan lagu Rabiatul Adawiyah dan lagu Al Haq Yang Satu di pusingan battle.

In Team yang meraih sebanyak 77.47 peratus markah membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 dan trofi sumbangan Astro.

Tempat kelima dimenangi oleh Heliza & Hazwani Helmi yang menyampaikan lagu Wassini dan lagu Pejamkan Mata di pusingan battle.

Mengumpul 76.2 peratus markah, Heliza & Hazwani berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 dan trofi sumbangan Astro.

Tempat keenam dirangkul oleh kumpulan Brothers yang menyampaikan lagu Mimpi Laila dan lagu Al Haq Yang Satu di pusingan battle.

Brothers yang meraih 76.13 peratus markah berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM5,000 dan trofi sumbangan Astro.

Konsert akhir Gema Gegar Vaganza 2 bersiaran secara langsung bermula jam 9.00 malam di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran di Dewan Sri Putra Bukit Jalil, Gema Gegar Vaganza 2 menampilkan Siti Nordiana, Fikry Ibrahim dan Fakhrul UNIC sebagai pengacara.


Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza 2.

Untuk konsert akhir, tugas juri undangan disandang oleh penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M. Nasir.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan Gema Gegar Vaganza 2, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my.

Gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.