PENTAS Big Stage dikejutkan dengan dua penyingkiran pesertanya, Hafiz Zainal dan Nana Sheme, pada minggu suku akhir.

Hafiz dan Nana berada di tangga tiga terbawah bersama seorang lagi peserta, Dinie Rashid, apabila mendapat markah terendah pada minggu tersebut.

Namun Dinie diselamatkan daripada tersingkir apabila diberi imuniti terakhir daripada juri tetap.

Menurut juri tetap, Ajai jika dibenarkan mereka ingin melihat semua peserta mara ke peringkat separuh akhir.

"Kami kalau boleh mahukan semua peserta pada malam ini masuk ke pusingan seterusnya, kerana jika diikutkan mereka berdua kuat pada undian peminat, namun sangkaan kami meleset," ujarnya semasa sidang media konsert Big Stage pada Ahad.

Pada masa sama, Ajai turut menyatakan bahawa kesemua peserta memberikan persembahan yang terbaik malam tadi.

Pusingan kali ini menyaksikan penyanyi Fadh Majid berada di kedudukan teratas selepas memperoleh markah tertinggi iaitu sebanyak 77.7 peratus.

Ini diikuti oleh Qody Rany (76.3) dan Usop (76.6) yang membawakan lagu daripada Charlie Puth, One Call Away untuk tema Rotasi 36T.

Peserta lain yang turut mara ke pusingan separuh akhir ialah Farisha Iris dan Azzam Sham.

Pada minggu separuh akhir, peserta ditugaskan untuk membawakan dua buah lagu yang bertemakan Duominasi Platinum dan Terbang Jauh.