Pementasan teater 'Bingkas Timur' boleh menjadi sebagai titik permulaan kepada kemunculan lebih banyak kumpulan teater di Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata ia juga sekali gus menjadi salah satu daripada strategi menjadikan negeri ini sebagai sebuah hab budaya.

"Seni dan budaya adalah salah satu elemen bagi tarikan pelancongan terhadap sesuatu tempat dan semestinya Negeri Sembilan negeri yang beradat dan kaya dengan seni dan budaya.

"Banyak kemudahan infrastruktur sedia ada di negeri ini yang boleh dimanfaatkan aktivis seni dan budaya antaranya Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan yang dilengkapi kemudahan pentas persembahan dan satu-satunya jabatan yang mempunyai dua auditorium iaitu Auditorium D'Sury dan Auditorium Raja Melewar dengan ruang latihan, studio muzik dan dua studio tari," katanya pada pementasan Teater Bingkas Timur di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata kemudahan yang ada ini juga memberi kelebihan kepada penggiat dan aktivis tempatan untuk menghasilkan karya-karya baharu dan segar.

Katanya kerajaan negeri melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan sebagai salah satu agensi yang bertanggungjawab dalam menyemarak dan membangunkan seni dan budaya akan terus memberi sokongan, kerjasama, ruang, khidmat nasihat dan idea.

"Sokongan ini akan diberikan kepada penggiat industri seni dan budaya, badan-badan bukan kerajaan dan agensi-agensi bagi memperbanyakkan aktiviti atau program pementasan seni dan budaya bukan sahaja dalam siri pementasan teater bahkan dalam cabang seni lain seperti muzik, tari, permainan tradisional, silat dan sebagainya.

Harus diingat pembangunan seni dan budaya juga sebagai penyokong kepada pembangunan industri pelancongan di negeri ini. Saya amat berharap agar dengan adanya perancangan aktiviti seni dan budaya dapat dijadualkan dengan lebih berstruktur," katanya.

Mengulas mengenai teater Bingkas Timur, Aminuddin berkata Persatuan Teater Anak Melayu (Tamu) telah berjaya menyiapkan filem pendek ini dengan dana sendiri berjumlah RM15,000.

Teater Bingkas Timur mengenai kesatuan dan kebangkitan rumpun Melayu di Nusantara dalam menentang penindasan serta kezaliman pemerintah adalah anjuran Tamu dan pementasan teater ini akan berlangsung selama dua hari bermula Sabtu.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Romli Ishak yang mewakili beliau pada majlis itu.

-- BERNAMA