BINTANG AF Megastar, Bob Yusof mendedahkan sebenarnya dia mengalami gangguan pita suara yang agak teruk sebelum menyertai program nyanyian, AF Megastar.

Bob berkata pita suaranya kini baru sahaja pulih 90 peratus dan masih perlu menjalani beberapa rawatan susulan.

"Sebenarnya saya beberapa bulan ini saya sedang memperbaiki pita suara saya yang mengalami gangguan dan kerosakan sejak akhir tahun lalu.

"Saya terpaksa berehat daripada hujung Mei daripada mengambil apa-apa undangan nyanyian.

"Alhamdulilah, ia sudah semakin pulih lebih kurang 90 peratus. Saya kini masih perlu berjaga-jaga supaya ia tidak menjadi lebih teruk.

"Malah saya juga masih menjalani beberapa rawatan susulan daripada doktor pakar ENT (telinga, hidung, tekak)," katanya kepada Astro Gempak.


BACA: AF Megastar: Setiap kali naik pentas saya bagai dirasuk - Idayu

BACA: #AFMegaStar trending dengan Bob, Idayu dan Marsha antara paling menyerlah

Bob menyampaikan lagu Bukan Cinta Biasa daripada Afgan ketika konsert AF Megastar Homecoming yang berlangsung pada Ahad lalu.

Persembahan Bob mendapat pujian daripada juri tetap Syafinaz Selamat serta tepukan gemuruh daripada penonton di dewan Royale Theatre Shah Alam.



Sementara itu, Bob memberitahu tujuannya menyertai AF Megastar bukan sekadar untuk memenanginya tetapi mahu menonjolkan bakatnya yang selama ini tidak disedari ramai.

"Matlamat saya menyertai AF Megastar bukan niat untuk bertanding kerana kalah dan menang saya ketepikan.

"Saya cuma nak menunjukkan bakat nyanyian yang saya ada kerana dulu mungkin terlepas dan tidak sempat.

"Lagipun ramai yang tanya mana saya pergi, lama tak muncul kerana mungkin terlepas pandang atau apa.

"Inilah masanya untuk saya curahkan 13 tahun pengalaman nyanyian yang saya ada di atas pentas," katanya lagi.

Separuh lagi bintang AF Megastar yang lain bakal berentap pada konsert AF Megastar Homecoming pada minggu hadapan iaitu 9 September depan.

Konsert AF Megastar Homecoming pada minggu hadapan sekaligus bakal menentukan 12 bintang yang akan terpilih dan mara ke konsert AF Megastar seterusnya.

Semua keputusan bakal diadili sepenuhnya oleh dua orang juri tetap dan seorang juri jemputan.


AF Megastar yang dikemudi oleh Dato' Aznil Hj Nawawi itu akan disiarkan secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dan www.afmegastar.com.my jam 9malam, setiap hari Ahad.

Teks oleh: Syafiqah Jalal