Keluarga dan peminat Bobbi Kristina Brown berkumpul di perkuburan Fairview Cemetery di sini untuk memberi penghormatan terakhir kepada penyanyi tersebut yang dikebumikan di sebelah pusara ibunya, Whitney Houston.

Memetik laporan portal US News, kereta jenazah berwarna emas yang membawa jenazah anak perempuan Houston itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty pada 10 pagi sebelum membuat lawatan singkat ke Whigham Funeral Home di Newark; tempat yang sama mengendali upacara pengebumian Whitney Houston, tiga tahun lepas.

Kira-kira 90 minit kemudian, kereta jenazah tiba di tanah perkuburan di Westfield, diikuti dua kereta SUV berwarna hitam yang membawa saudara-mara Bobbi Kristina termasuk sepupunya, penyanyi Dionne Warwick.

Difahamkan, beberapa jalan raya ke Fairview Cemetery juga ditutup oleh pihak polis bagi majlis pengebumian tersebut.



Bobbi Kristina meninggal dunia pada usia 22 tahun selepas berada dalam keadaan koma sejak enam bulan, lalu. Beliau dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di kediamannya di Roswell, Georgia 31 pada Januari lalu.

Bobbi Kristina meninggal dunia di sebuah pusat penjagaan yang terletak di Atlanta, Georgia di Amerika Syarikat (AS) pada 26 Julai, lalu.

Kematian Bobbi Kristina dikatakan satu tragedi susulan kematiannya dikatakan menyamai kematian tragis ibunya.

Whitney meninggal dunia pada 11 Februari, 2012 selepas dijumpai dalam keadaan tidak sedar dalam tab mandi di bilik hotelnya di Beverly Hilton Hotel di Los Angeles sejurus beberapa jam sebelum majlis Anugerah Grammy berlangsung.