PENERBIT dan pelakon Datuk Boy Iman yakin telefilem seram Blok 404 yang diterbitkan semula dalam versi filem akan menjadi fenomena semula seperti dahulu.

Menurut Boy Iman, tujuan utama dia menerbitkan filem Blok 404 semula kerana ingin mengembalikan nostalgia peminat-peminat telefilem tersebut.

"Suatu ketika dahulu telefilem Blok 404 telah mencetus fenomena dalam industri hiburan di Malaysia dan jualan VCD sangat tinggi.

"Jadi saya mengambil peluang ini untuk menerbitkan semula dalam bentuk filem kerana ingin mengembalikan semula nostalgia terhadap peminat-peminat yang merindui Blok 404.

"Jika dilihat, ramai juga bakat-bakat baru yang terlahir disana antaranya saya, Nabila Huda, Arwah Faisal Yusof, Raja Azri dan Zamarul Hisham.

"Apa yang boleh saya katakan filem ini lebih menarik kerana aksi yang dipaparkan lebih seram dan mendebarkan penonton," katanya kepada Astro Gempak.

Boy Iman berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran filem Blok 404 yang diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Boy Iman, filem yang diarahkan oleh Azma Aizal ini bakal menemui penonton di pawagam pada hujung tahun nanti.

Filem Blok 404 dibarisi oleh Amar Asyraf, Nur Risteena, Kamal Adli, Nadia Brian, Zamarul Hisham, Raja Azri dan Boy Iman.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi