LAGU Fake Love nyanyian BTS memecahkan rekod Gangnam Style nyanyian PSY untuk menjadi lagu artis K-Pop yang paling banyak distrim di Spotify.

BTS hanya memerlukan masa 7 bulan selepas lagu itu dilancarkan untuk mendapat lebih 184 juta penstriman.

Memetik laporan Forbes, Gangnam Style yang menjadi tular sejak 2012 mendapat 183 juta penstriman. Mengekori rapat angka ini ialah satu lagi lagu BTS, DNA yang telah distrim sebanyak 181 juta kali.

Ini merupakan sebahagian kecil rekod yang dilakukan oleh BTS.


Baru-baru ini, BTS menjadi kumpulan kedua paling popular di Spotify selepas Imagine Dragon selain menjadi artis K-Pop pertama yang melepasi angka 1 bilion penstriman di Apple Music.

BTS melakukan pencapaian luar biasa sepanjang 2018. Mereka telah memastikan kedudukan mereka sebagai kumpulan paling popular di dunia dengan dua album berada di carta nombor satu, menyampaikan ucapan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan filem Burn the Stage: The Movie mencatatkan kutipan box office sebanyak 18.5 juta dolar.

BACA: Peminat BTS punca laman web, aplikasi GSC tidak berfungsi!

Melihat kepada kejayaan ini, BTS dijangka akan terus menguasai 2019 dengan muzik dan aksi mereka.