BIARPUN sudah berkali-kali diberi peringatan, nampaknya masih ada yang buat tidak endah.

Seorang individu dikesan menjual rakaman daripada filem Avengers: Endgame dengan harga SGD$5 (RM15) di platform jual beli Carousell, lapor portal Today Online.

Dalam iklannya, individu itu mengakui mempunyai rakaman sepanjang empat minit setengah daripada filem tersebut.

"Jika anda mahukan bukti, DM saya untuk dapatkan screenshot daripada klip itu.

"Klip akan diserahkan sebaik sahaja anda menyelesaikan bayaran," tulis individu itu.

BACA: Avengers: Endgame bocor? Jangan 'spoil' penantian peminat

BACA: [INFOGRAFIK] Filem MCU mengikut garis masa menuju 'Avengers: Endgame'

Sebuah portal lain, mothership.sg melaporkan, individu terbabit bukan asing di platform itu kerana sudah menyertai Carousell sejak tiga tahun lalu.

Rata-rata review yang diterimanya juga positif.

Ketika berita ini ditulis, iklan tersebut dikatakan telah diturunkan.

Sebelum ini, pengarah filem itu, Anthony dan Joe Russo membuat rayuan kepada orang ramai agar tidak membocorkan mana-mana klip daripada filem yang cukup dinantikan itu.

"Apabila anda menonton Endgame nanti, jangan rosakkan pengalamannya untuk orang lain, sebagaimana anda tidak mahu perkara itu berlaku kepada anda," kata mereka dalam satu entri di Instagram.

Filem yang dibintangi Robert Downey Jr, Chris Evans, Chris Hemsworth dan ramai lagi itu akan mula ditayangkan di Malaysia pada 24 April ini.