Bumi Itu Bulat (BIB) yang mengisahkan tentang sekumpulan anak muda yang mengejar impian dan cita-cita dalam bidang muzik merupakan kerjasama terbaharu Astro Shaw dan produksi dari Indonesia, Inspiration Pictures.

Kerjasama pertama antara dua gergasi produksi filem ini adalah bagi merapatkan jurang perfileman di peringkat serantau.

Latar cerita BIB diperkukuhkan lagi dengan elemen persahabatan, cinta dan kekeluargaan. Jalan ceritanya mudah untuk diterima dan dekat dengan penonton di luar sana.

Menurut Naib Presiden & Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Bahagian Perniagaan Melayu & Nusantara, Raja Jastina Arshad ini adalah kerjasama julung kali buat Astro Shaw dan Inspiration Pictures.

Katanya, kebersamaan dalam bahasa dan budaya boleh menjadikan filem sebagai medium penyatuan antara Malaysia dan Indonsia.

“Sebagai antara penerbit yang aktif di Malaysia, kami merasakan ini adalah masa yang tepat untuk mengembangkan lagi jenama Astro Shaw di peringkat Nusantara sebagai penerbit filem.

"Bumi Itu Bulat mempunyai jalan cerita yang universal dan elemen persahabatan, kekeluargaan dan percintaan yang diselitkan amat dekat dengan penonton di Malaysia.

"Kami berharap kerjasama ini tidak terhenti di sini. Terdapat banyak perancangan di masa hadapan buat Astro Shaw dengan syarikat penerbit di Indonesia yang lain, bukan sahaja filem malah melalui isi kandungan televisyen dan digital,” katanya.

Manakala bagi Penerbit BIB, Robert Ronny yang juga merupakan penerbit filem Kartini dan Kapan Kawin, menyatakan filem tersebut dihasilkan adalah untuk menyampaikan mesej toleransi di kalangan generasi muda.

“Saya membesar di kawasan yang terdiri daripada berbilang latar belakang dan saya belajar sifat toleransi adalah antara kunci yang penting untuk hidup dalam pelbagai latar.

"Jadi menerusi filem ini saya ingin sampaikan kepada orang di luar sana bahawa meskipun kita berbeza latar, namun itu yang menjadikan kita unik dan mampu menggerakkan ke arah negara yang maju,” jelas beliau.

Sementara itu, Setiausaha Agung GP Ansor yang merupakan Penerbit Bersama BIB, Abdul Rochman menjelaskan mereka memberi sokongan penuh pada BIB.

“Isu toleransi menjadi mesej utama dalam filem ini. Seperti di Indonesia yang umum tahu mempunyai rakyat yang berbilang latar.

"Jadi kami harap mesej filem ini dapat disampaikan kepada orang di luar sana dan secara tidak langsung memupuk hubungan yang sejahtera antara satu sama lain,” katanya.

Filem ini direalisasikan dengan penglibatan awal oleh nama-nama besar di Indonesia seperti Christine Hakim (Pelakon), Arie Kriting (Komedian / Pelakon), Robert Ronny (Pembikin Filem), Jenahara Nasution (Pereka Fesyen / Influencer) dan Gus Yagut (Pengerusi PP GP Ansor).

Mereka berlima yang berbeza industri dan latar namun bersetuju untuk bekerjasama dalam memberi sokongan pada filem ini demi memupuk sifat toleransi di kalangan generasi anak muda.

BIB mengisahkan perjalanan anak muda Rahabi, Markus, Syahid dan Tiara dalam mengejar impian dan cita-cita. Mereka telah menubuhkan sebuah kumpulan acapella bernama Rujak Acapella.

Rahabi tekad untuk membuktikan kepada ayahnya yang kumpulan nyanyian yang ditubuhkan akan berjaya satu hari nanti.

Suatu hari mereka telah bertemu dengan seorang komposer muzik yang telah menawarkan tawaran kontrak rakaman album tetapi dengan satu syarat, Aishia harus menjadi sebahagian kumpulan Rujak Acapella.

Aishia pernah menjadi seorang penyanyi remaja popular satu ketika dahulu namun mengambil keputusan untuk menetap di luar negara.

Demi merealisasikan impian Rahabi dan melihat kumpulannya berjaya, dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan Aishia bersetuju menjadi sebahagian ahli kumpulannya. Salah satu permintaan Aishia adalah untuk menemuramah Melinda seorang pensyarah yang dipinggirkan kerana ucapannya yang berunsur hasutan.

Namun, lama kelamaan seluruh rakan dan keluarga menyedari perubahan Rahabi dimana dia telah meninggalkan impian untuk melihat Rujak Accapela berjaya.

Filem ini diarahkan oleh Ron Widodo dan cerita asal oleh Robert Ronny dan Vera Varida. Manakala ia dibintangi oleh pelakon muda berbakat besar seperti Rayn Wijaya, Rania Putrisari, Qausar Harta, Kenny Austin, Aldy Rialdi, dan Febby Rastanty. Turut menampilkan pelakon hebat seperti Mathias Muchus, Ria Irawan, Arie Kriting dan Christine Hakim.