AHLI Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menimang cahaya mata perempuan pada Jumaat.

Berita gembira itu dikongsi isterinya, Datin Seri Zizie Ezette yang juga pelakon terkenal tanah air di laman Instagram peribadinya.

Menurut Zizie, 40, anak ketiganya itu dilahirkan dengan berat 3.32 kilogram dan berada dalam keadaan yang sihat.

"Terima kasih Allah, kelahiran ini sangat mudah berbanding pengalaman sebelum ini. Terima kasih di atas doa anda semua," kata Zizie yang turut memuat naik sekeping foto dia memangku bayinya itu.

Zizie dan Bung Mokhtar yang berkahwin pada 2009 sebelum ini dikurniakan sepasang anak lelaki kembar Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette yang lahir pada 29 Disember 2017.

Pasangan berkenaan juga mempunyai dua orang anak angkat, Nayla Nurjenna, 3, dan Aaric Zayn Izette yang berusia setahun.