PELAKON Rozita Che Wan atau lebih popular dengan panggilan, Che Ta mendedahkan membawa lebih 20 bagasi setiap kali bercuti ke luar negara.

Che Ta berkata jumlah tersebut normal setiap kali keluar bercuti bersama suami dan anak-anak.

"Biasanya saya yang akan siapkan atau pack sendiri semua baju suami dan anak-anak kerana saya mahu kami anak beranak pakai sedondon setiap hari.

"Saya akan letakkan setiap pakaian yang akan kami pakai mengikut hari, satu bag untuk satu hari.

"Jadi mudahlah kerana setiap satu bagasi itu saya sudah suai padankan serta dengan rona atau tema yang sama.

"Selebihnya saya akan asingkan satu bagasi untuk handbag serta kasut-kasut saya pula," katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui di lokasi penggambaran program realiti terbaru terbitan Astro Hulu Langat, petang Isnin.

Menurut Che Ta, dia mengambil masa hingga satu hari untuk mengemas kesemua 20 bagasi yang akan dibawa.

"Penat juga bila perlu kemas semua bagasi sendiri.

"Meskipun saya sudah mengasingkan lebih awal apa yang mahu dibawa tetapi untuk siapkan semua, ambil masa hingga satu hari juga.

"Dalam masa satu hari itu saya akan fokus dengan bagasi dan pakaian sehingga ia selesai," ceritanya.

Gaya dan penampilan Che Ta dan suaminya Zain Saidin serta anaknya Aaisyah Dhia Rana terutamanya sering mendapat perhatian ramai setiap kali bercuti ke luar negara.